Pages

Thursday, July 16, 2009

Kahwin Ketika Belajar

( artikel yang diubah suai dari 'buku dalam pembikinan' saya- PsikoSeksual Remaja Wanita Dari Sudut Fitrah Dan Islam)
1. Berumahtangga, bermakna kita sudah nekad dan bersedia untuk hidup bersama lelaki atau wanita lain sehingga akhir hayat. Ianya SEJARAH besar dan akan merubah banyak perkara dalam kehidupan seseorang.
2. Orang yang hebat dan yang sentiasa merancang kehidupan akan membuat sebarang keputusan ketika emosi tenang, matang dan yakin dengan keputusannya itu
3. Usia, ilmu dan pengalaman adalah sebagai asas kayu ukur kematangan seseorang.
4. Orang yang sejak kecil hidupnya penuh dengan kesukaran dan halangan, proses kematangannya lebih cepat. Sukar dari segi kehidupan atau sukar kerana tiada kemudahan, seperti ketika era tiada letrik, bekalan air serta kemudahan teknologi komunikasi.
5. Di era serba mudah dan canggih sekarang ini telah memberi kesan MELEWATkan kematangan untuk seseorang berdikari dan membuat keputusan yang tepat serta kurang pengalaman menyelesaikan masalah hidup yang rumit.
6. Ramai ibu-ibu tua sekarang, mereka berkahwin pada usia belasan tahun dan anak-anak mereka ramai yang berjaya. Mengapa? Mereka cepat matang dalam banyak perkara. Manakala anak-anak remaja sekarang, ada yang usia awal 20an, masih kebudakan lagi emosi dan tindakannya.
7. Sekitar tahun 80an, saya mempunyai ramai kenalan yang belajar di luar Negara dan berkahwin di sana pada usia 20-23 tahun ( belum tamat pengajian), dan kebanyakan mereka baru berkenalan dengan gerakan Islam dan baru belajar memahami Islam yang sebenar. Manakala pelajar yang tidak cenderung kepada agama, ramai berkahwin bila sudah tamat pengajian dan setelah balik ke Malaysia.
8. Alasan utama berkahwin ialah kerana menutup fitnah dan kerana ‘dakwah’ . Mentah dalam dakwah dan membuat keputusan.
9. YANG MENARIKNYA, ada di antara mereka ini yang sekarang ini sudah pun mempunyai anak remaja dan mereka member AMARAN kepada anak mereka, “ Jangan kawin semasa belajar”. Malah ada kenalan saya yang sengaja meletakan gambar anaknya yang sudahpun graduan pada kad jemputan kahwin.
10. Ada di antara mereka memberitahu dan melihat perbezaan yang agak ketara pada emosi dan perangai anak sulung atau anak kedua mereka berbanding dengan anak-anak yang lain. Anak-anak ini lahir dan di didik ketika mereka menjadi ibubapa pada usia sangat muda, cetek pengalaman, terburu-buru, pembengis, mudah melenting dan sibuk pula dengan peperiksaan.
11. Jika dahulu memberi alasan dakwah, tetapi apabila ada di antara anak-anak mereka yang sudah dewasa dan gugur lebih awal dari jalan dakwah, malah ada yang terus ke bawah. Mereka yang ketika itu masih singkat akal dan tidak matang, sekadar memberi alasan, dan menyembunyikan naluri seksual ketika muda sebagai ‘helah’ berkahwin awal.
12. Kenalan saya seorang usahawan ( tidak belajar tinggi), yang berkahwin pada usia 22 tahun, juga mengaku menyesal kahwin muda, kerana serba kekurangan ilmu dan psikologi perkahwinan serta tidak matang lagi menjadi nakhoda rumahtangga.
13. Sebaliknya ada kenalan saya, yang berkahwin awal ketika di luar negara, dan anaknya pula mahu mengikut jejak langkahnya berkahwin sebelum graduat. Dalam satu tulisan yng beliau tulis seolah-olah 'mengalakkan' pula berkahwin pada usia mentah/ semasa belajar!. Namun begitu, jika diamati secara terperinchi, artikel itu sekadar alasan mahu membenarkan anaknya berkahwin awal dan membenarkan tindakannya dahulu berumahtangga pada usia awal 20an. Sedangkan beliau lupa akan kematangan beliau jauh berbeza kerana pernah hidup serba kekurangan.
14. Kesimpulannya, “ Wahai anak-anak muda yang masih belajar, khasnya di luar negara ( di Negara Arab, USA, Eropah, UK, Australia dan seumpamanya) pelajarilah pengalaman orang yang lebih dahulu dari anda. Usah cemaskan dan risaukan hati ibuayah anda di sini. Kejar matlamat utama anda untuk berjaya dalam pelajaran dan kerjaya, bukan pulang bawa anak dan anda pula bakal menjadi penggangur. Anda mendidik anak pada usia mentah dan masih terserlah emosi kebudak-budakan. Ingat ! Allah mengajar secara langsung khasnya lelaki ,dimana Rasulullah berkahwin selepas beliau sudah mencari rezeki sendiri dan pada usia lelaki matang, iaitu usia 25 tahun- berkahwin sekitar usia ini juga merupakan sunnah dan orang yang matang merancang kehidupan”.


( akan datang : Mendapat anak selepas ibu atau bapa berusia 40 an! )