Pages

Tuesday, November 13, 2007

Muhasabah Kepada Ibubapa Yang Sebu Perut Dengan Syaksiah Anak-Anak.



Dari artikel terdahulu, Kita beri penawar mereka beri racun, Adakah Mungkar diwarisi? dan kisah dari Syiekh Hasan Elwan, yang memberi mesej anak-anak bersyaksiah tidak seperti yang ibubapa harapkan terutama kepada ibubapa yang berilmu agama, memiliki fikrah Islam yang syumul, sebagai pejuang atau pendokong dakwah, ibubapa yang jelas hakikat matlamat hidup dan yang ada organisasi naungannya. Juga ibubapa yang cenderung kepada Islam walaupun tidak berorganisasi.

Seingat penulis, kira-kira 15 tahun yang lalu, sekitar tahun 1993-1995 dalam sesi ceramah / bengkel bersama remaja, penulis pernah mengeluarkan satu kenyataan seperti berikut, ” Kebanyakkan ibubapa anda lahir sekitar tahun tahun 1940an sehingga 50an dan ibubapa anda itu sebahagian besarnya membesar dalam suasana Islam yang tidak subur, Islam difahami dalam kontek yang sempit dan tradisional malah ketika itu wanita yang bertudung dipandang pelik dan janggal. Dunia hiburan ketika itu seperti pop yeh-yeh, lagu pop, dangdut, panggung wayang, pub, kelab malam dan hiburan dari media cetak serta elektonik walaupun tidak secanggih hiburan dizaman anda sekarang. Begitu juga ilmu mendidik anak-anak dari sudut kaunseling, kursus / seminar keibubapaan ketika itu belum berkembang. Kebanyakan orang Melayu masih daif, tidak berpelajaran tinggi dan miskin, maka faktor mencari rezeki menjadi faktor utama kehidupan sehingga terlupa mendidik anda semua. Maka tidak hairan banyak gelaja sosial dikalangan remaja zaman ini”. Benarkah kenyataan ini dan masalah remaja ketika ini tidak jauh bezanya malah nampaknya semakin parah!!

Jika purata usia perkahwinan lelaki-wanita pada usia 25 tahun dan usia remaja di katagorikan antara 15-25 tahun. Maka pada ketika ini sebahagian besar usia ibubapa ini sekitar 40- 55 tahun atau seawal 38 tahun ( jika berkahwin pada usia 23tahun). Dengan kata lain remaja zaman sekarang, ibubapa mereka lahir kebanyakkannya pada tahun sekitar 50an dan 60an atau lahir selepas Malaysia merdeka.

Penulis ingin mengajak anda ulang ingat semula persekolahan, pendidikan agama oleh ibubapa anda, suasana ekonomi Negara ketika itu, suasana hiburan, kehidupan orang Melayu Islam, suasana masyarakat Islam ketika itu, suasana politik, dan perkembangan pemahaman Islam ketika anda membesar dahulu. Adakah kita terdidik dalam keadaan selesa seperti kita mendidik anak-nak kita sekarang? Adakah sempurna didikan agama kita? Adakah masyarakat ketika itu cenderung menghayati Islam? Anda tentu mempunyai jawapan masing-masing.

Seingat penulis dan dari pembacaan, sekitar tahun awal 70an baru terdengar perkataan Islam itu cara hidup, ibadah itu bukan sekadar ibadah khusus, semakin ramai wanita Islam yang ’berani’ bertudung dan memasuki tahun 80an seperti ada lambakan buku-buku fikrah yang kebanyakkannya diterjemah dari bahasa Arab. Buku-buku hasil tulisan dari ulamak haraki yang muktabar seperti Sayed Qutb, Abd karim Zaidan, Al Maududi, Umar Thilmasani, Mustafa Mashyur, Muhammad Abduh, Sai’d Hawwa dan ramai lagi. Begitu juga ada gelombang kebangkitan untuk memahami Islam secara syumul dan tertubuhnya beberapa jemaah Islam. Dan tumpuannya lebih kepada golongan cerdik pandai di Universiti dan maktab samada dalam negara dan luar negara. Walaupun secara nisbahnya masih kecil golongan yang mula sedar dan mahu beramal dengan Islam yang sahih berbanding mereka yang masih mengamalkan Islam tradisi.


Namun begitu dari mesej artikel-artikel yang dinyatakan diatas, walaupun tiada kajian atau satistik yang dibuat terhadap anak-anak remaja yang ibubapanya tergolong ’bernasib baik’ termasuk dalam gelombang kebangkitan Islam diMalaysia seperti dinyatakan diatas, dimana ada diantara anak-anak remaja mereka berlainan watak dengan watak mereka semasa muda.

Satu analogi mudah dan ‘masuk akal’, kebanyakkan anda sebagai ibubapa yang memiliki fikrah Islam ketika ini sedangkan ibubapa anda sendiri adalah orang-prang biasa yang memahami Islam secara turun menurun dan tidak syumul seperti yang anda fahami. Tetapi hasil didikan tradisi mendidik anda, anda cenderung untuk mendekati Islam. Sebaliknya kini sebagai ibubapa kepada anak remaja tetapi anak anda ini TIDAK cenderung kepada Islam malah ada segelintir TIADA BEZA cara berpakaian, cara bergaul, cara bercakap dengan remaja lain. Antara contohnya bertudung tetapi memakai baju dan berseluar ketat!!- ini seperti yang diberitahu oleh para beberapa pensyarah Universiti, yang sedar ibubapa remaja itu ialah orang yang ada fikrah!!

Isteri penulis yang merupakan pakar psikiatris boleh dikatakan banyak menyimpan ‘fail-fail’ remaja bermasalah yang ibubapanya adalah ‘orang dakwah’ dan dikalnagan ahli agama. Itu remaja bermasalah yang sehingga ketahap berjumpa pakar psikiatri, agaknya berapa ramai lagi diluar sana anak remaja yang ibubapanya dikalangan duat, dikalangan ustaz-ustazah yang gagal berakhlak Islami dan membuatkan perut ibubapa mereka sebu?? Malah sebahagian anak-anak remaja ini tidak tergolong dalam senarai utama menjadi sebagai mad’u kerana sudah jauh ke luar landasan.

Dari artikel tulisan Us Halim Abdullah sebelum ini yang membenarkan kata-kata syeikh Hasan Elyan iaitu apabila beliau balik ke Malaysia, beliau dapati masalah anak-anak para daie di sini lebih parah lagi. Juga dari pemerhatian penulis, maklumat sahih yang di terima, segelintir pelajar remaja yang bersekolah ‘menengah agama Islam’ swasta, sudahpun memeningkan pihak pentadbiran sekolah dan dikatakan yang duduk di asrama masalahnya lebih memeningkan. Sebahagian mereka ini anak-anak para duat juga dan ibubapa yang cenderung kepada Islam.

Dalam menghadapi anak-anak bermasalah, ada satu mekanisma mempertahan diri yang biasa kita dengar iaitu anak Nabi Nuh pun tidak taat kepadanya!!. Mengapa mekanisma begini yang dijadika hujah, mengapa tidak kita katakan semua anak-anak Nabi Muhammad SAW menjadi anak-anak solehah. Atau kita katakan, "Biasalah dalam setandan pisang tentu satu ada yang busuk…" Benar kenyataan ini TETAPI yang menjadi perbincangan ialah dalam setandan itu bukan satu-dua pisang yang busuk!!

Antara muhasabah lainnya, bolehkah kita berkata, inilah kualiti para daie sehingga gagal mendidik anak-anak sendiri? Atau sistem tarbiyah yang dilalui oleh daie itu bermasalah? Atau arus tarikan rakan sebaya anak-anak dan keseronokan dunia terlalu kuat? Atau arus keseronokan dunia ini pula dibawa masuk kedalam rumah daie ini?
Penulis yakin, kita ibubapa yang bergelar duat kepada remaja zaman ini, kehidupan kita semakin selesa, gaji semakin meningkat, hutang semakin susut, semakin kearah bermalas-malas, anak-anak sudah jadi driver, berdakwah juga semakin bermalas-malas mungkin makin ‘tepu’ dengan usrah dan ‘tepu tarbiyah’, anak semakin berdikari dan sudah / akan berkahwin, fizikal juga semakin lemah kerana penuaan dan hidup pasif dari berridhah, akal semakin matang, topik perbincangan juga semakin ‘besar’, dan bila mentí usia 50an nanti, tidak hairan anda dengan orang-orang lain seusia hampir tiada bezanya!!! Melainkan anda sudah berazam meletakkan dakwah ini hádala kerjaya anda dari dulu sehingga sekarang. BUKAN sekadar di mulut berkerjaya sebagai daie tetapi dari amalnya, dalam mindanya, dalam kata-katanya, dalam syaksiahnya dan juga qudwah dari keluarganya.

Kesimpulannya, jika anak-anak para duat ini bermasalah, apalagi anak-anak orang biasa!! Namun begitu, dalam setandan pisang yang kebanyakkannya ‘tidak berapa baik’ tetapi mungkin ada satu yang baik, seperti anda yang ‘lebih baik’ dari adik beradik anda yang lain.