Pages

Friday, November 16, 2007

Apa yang menyebabkan awak bangga dengan Ayah awak?


Dalam satu kursus motivasi pelajar di sebuah sekolah rendah, seorang perunding motivasi meminta jawapan bertulis dari para pelajar ini dengan bertanya, " Apakah yang menyebabkan awak bangga dengan ayah awak?.

Antara jawapan-jawapan yang ditulis ialah kerana ayahnya seorang peguam, seorang doktor, ayahnya suka ajak bercuti, suka belikan hadiah, ayahnya tidak rotannya bila buat salah dan bermacam-macam jawapan lagi. Dan ada satu jawapan yang berbunyi begini, "Saya bangga dengan ayah saya kerana dia selalu pergi masjid dan setiap hari baca Al Qur'an".

Reflek yang boleh penulis tuliskan ialah, anak ini mampu berfikir sebegini matang sedangkan mungkin ada pelajar lain, ayah mereka juga seperti ayahnya. Dan tentunya, si ayah yang 'matang berkomunikasi' dengan Allah membentuk anaknya menjadi matang.

Berkomunikasi dengan anak-anak ada masanya dibuat secara formal dan biasanya lebih kepada spontan. Begitu juga tarbawi spontan juga lebih terkesan pada anak-anak. Tarbawi ketika diluar rumah atau tarbawi dari drama-drama yang mereka tonton. Kita perlu kreatif dan cepat reflek kepada apa yang berlaku pada sekitaran. Contoh mudah, katakan ketika makan diluar, apabila ternampak satu keluarga lslam yang nampak bahagia makan bersama tetapi kelihatan si ibu, anak perempuan tidak menutup aurat dan tidak jauh dari situ, ada pula keluarga orang bukan Islam yang juga nampak bahagia makan bersama, elok kita lontarkan soalan, " Cuba tengok dan bandingkan keluarga Islam ini dengan keluarga orang bukan Islam tu, ada beza dari pandangan mata kasar?

Komunikasi agak formal seperti Usrah Keluarga secara berkala sangat berkesan mentarbiah anak-anak dan tahniah kepada organisasi yang sudah tersedia modul usrah keluarga ini. Sesekali berikan anak-anak peluang menyenaraikan sifat positif dan sifat negatif kita. Ianya satu muhasabah yang baik untuk ibubapa.

Satu cadangan, sila tanya anak-anak kita, apa yang menyebabkan mereka bangga dengan kita? Atau bertanya isteri atau suami, apa yang mereka bangga dengan anda?