Pages

Monday, September 1, 2008

Pesta Ibadah Ramadhan Yang 'Pelik'

Dari segi fizikal badan, berpuasa Ramadhan akan di rasai pada awalnya oleh mereka yang tidak atau amat-amat jarang berpuasa sunat pada bulan lain. Dengan kata lain, berbulan-bulan lamanya perut sentiasa kekenyangan, tiba-tiba terkejut di paksa berlapar dan tidak menghirup setitik air untuk selama 12 jam dalam sehari. Juga mereka ini akan merasai perubahan rutin harian untuk bangun awal untuk bersahur dan berbuka pada petang harinya.

Manakala kepada yang istiqamah berpuasa sunat, suasana bersahur, berpuasa dan berbuka tetap sama, bezanya puasa ketika ini dilakukan pada setiap hari selama sebulan serta berbeza suasana bilamana orang sekeliling juga turut sama berpuasa. Mereka ini sejak bulan Rejap dan syaaban lagi atau sepanjang tahun, sudah bersedia minda untuk berada dipuncak puasa iaitu berpuasa dalam bulan Ramadhan. Dan beriman dengan janji Allah SWT, perbezaan suasana kerahmatan bulan mulia ini dan teruja dengan pelbagai ganjaran pahala.

Orang yang teruja untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti amal, sepatutnya mengharapkan untuk merasakan suasana Ramadhan ini 'lebih lama' dan mengisinya dengan amal-amal YANG SENGAJA dan dilakukan dalam keadaan SEDAR. Akan merasa rugi jika tiap minit, tiap jam dalam bulan ini berlalu begitu sahaja tanpa amal soleh. Jika merasakan Ramadhan berlalu terlalu pantas, eloklah bermuhasabah diri.

Mutahkir ini, satu trend yang baik, dengan menghantar ucapan selamat menyambut Ramadhan ( khasnya melalui sms atau kad ucap selamat yang popular di negara Timur Tengah ), namun begitu biarlah ucapan-ucapan hebat itu benar-benar di fahami dan persediaan menyambut Ramadhan itu bermula dengan puasa sunat sebelumnya. Kepada yang tidak bersedia, maka berazamlah menjaga prestasi amal sepanjang Ramadhan pada tahun ini.

Pagi tadi, saya terdengar lirik nasyid yang menyebut tentang PESTA IBADAH TELAH BERMULA... dan ini juga satu ingatan yang baik, sebaiknya perlu difahami maksud keghairahan beribadah dalam bulan ini.
.
Kepada saya, adalah sesuatu yang 'PELIK' lagi MENAKJUBKAN, seperti pagi tadi iaitu hari pertama Ramadhan, tiba-tiba sahaja saf solat subuh menjadi dua saf dan saya yakin begitu jugalah di tempat-tempat lain. Termasuklah mereka yang dulunya istiqamah berjamaah maghrib dan isya’ tetapi liat untuk berjamaah subuh. Peliknya perangai orang-orang Islam ini dan lihatlah dimana-mana surau dan masjid, scenario serupa berlaku sejak berpuluh-puluh tahun dahulu. TIBA-TIBA berduyun-duyun orang pergi untuk berjamaah solat SUNAT sahaja, yang namanya solat tarawih. Sebelum ini, ketika solat fardu, surau-masjid lenggang, mereka pergi mana ya?

Inilah kekeliruan yang sekian lama membendung umat Islam, pesta ibadahnya pada bulan Ramadhan sahaja. Saf jamaah penuh, pada bulan ini barulah ingin membuka lembaran Al Qu'ran, kerana pada hari lain dibaca surah Yasin sahaja pada malam jumaat atau tidak dibaca langsung.

INI JUGALAH INDIKATOR yang harus diteliti oleh para pendakwah yang akan kefahaman dan amalan ummat. Usah kita berdekar-dekar bercakap tentang pemerentahan Islam, sedangkan inilah kualiti ummat Islam, bukan sahaja keliru dengan fahaman pensyariatan Islam, amal ibadah yang asas juga mereka masih keliru. Dakwah ini semakin sukar dan dakwah yang sekadar 'menjengah-jengah' akan terkandas dipertengahan jalan.

Anda bersetuju dengan perkataan 'PELIK' tadi? Atau tulisan artikel ini yang pelik? Maklumlah sudah sekian lama budaya orang kita sebegini, apa yang nak dipelikkan!!!. Mungkin juga boleh dikatagorikan sebagai amalan ‘bidaah’ ( lain dari yang lain) , kerana dizaman Nabi SAW, zaman sahabat dan tabiien, masjid mereka sentiasa penuh, sentiasa meriah dan setiap sudut masjid dipenuhi dengan orang bertadarus dan belajar ilmu pada bulan-bulan lain dan bertambah meriah ketika bulan Ramadhan. Malah dikatakan, jumlah jamaah solat Jumaat hampir tiada beza dengan jamaah solat fardu biasa!!. Begitu juga, bukankah PELIK pesta makanan di bazar Ramadhan? Ianya pelik kepada mereka yang bersungguh mahu menjaga kualiti puasanya tetapi ianya pesta yang menyeronokkan bagi mereka yang ’cincai’ berpuasa.

Dan bertambah PELIK lagi, pesta ibadah ini TIDAK PULA di susuli pada penghujung Ramadhan iaitu 10 malam terakhir. Dari pengalaman, teramat sedikit mereka yang mahu beriktikaf sepanjang sepuluh malam terakhir mencari lailaturqadar sedangkan inilah masanya mendapat pesta pahala!!. Ramai dari kita tahu bahawa pada sepuluh malam terakhir Ramadhan,Nabi SAW tidak pulang kerumah walaupun rumah baginda sebelah masjid, kita tidak pula teruja untuk mencontohi sunnah ini. Kalau tadi menakjubkan bilamana boleh hadir beramai-ramai bertarawih, tetapi semakin luntur pada penghujung Ramadhan dan tidak sanggup tidur beralaskan lantai di masjid/surau. Dan ramai orang tahu, penghujung Ramadhan, jamaah tadi semakin 'hilang' dan terus hilang selepas syawal.

Pesta Ibadah ketika Ramadhan sebegini keadaannya, memang boleh diterima dan masih ada positif, tetapi selepas Ramadhan, kemana mereka ini? Atau beginikah kualiti ummat Islam yang sepatutnya menerajui dunia ini?

Bukan bermaksud mempertikaikan keikhlasan ibadah seseorang tetapi bukankah ikhlas itu sangat berkait rapat dengan istiqamah? Iaitu beramal tanpa mengikut musim tertentu, ikut-ikutan popular, beramal bila ramai orang atau beramal mengikut kelapangan masa. Dalam konteks yang lain, adakah tidak boleh mempertikaikan puasa seseorang yang sentiasa meninggalkan solat fardu?Budaya begini seharusnya dilihat sebagai budaya yang 'tidak sihat' dan budaya yang tidak memakmurkan Islam.

Mungkin budaya ini sama seperti budaya ulat kelkatu? Kelkatu yang bermusim mencari cahaya, iaitu ketika musim hujan!. InsyaAllah tajuk akan datang, saya mengulas tentang ‘KELKATU’ RAMADHAN. Dan akan cuba menulis siri tulisan tentang SAINS RAMADHAN.