1. Iklan dalam perniagaan adalah satu kaedah penting dalam menentukan kejayaan sesebuah perniagaan. Malah ada iklan yang berlebih-lebihan mempromosi kualiti , sedangkan kualiti produk yang dikeluarkan tidak seperti yang di dakwa. Pengiklanan akan menaikkan imej dan penjenamaan sesuatu barangan.
2. Ada pengguna membeli atas dasar populariti sesuatu barangan, malah ada yang rasa bangga apabila memiliki barangan yang sentiasa diiklankan dalam media-masa. Saya pernah berjumpa dengan pekedai yang memberitahu yang dia hanya menjual barang-barang yang diiklankan di majalah, akhbar atau di dalam radio. Katanya jika tiada iklan, produk itu susah untuk di jual. Begitu juga jurujual yang sering menunjukkan contoh-contoh iklan yang pernah dibuat oleh syarikatnya bagi meyakinkan pelanggan.
3. Produk yang sudahpun popular juga perlukan iklan dan promosi yang berkala untuk mengekalkan popularitinya.
4. Seorang pendakwah, produk yang ingin dijualnya itu ialah Islam yang sahih. Islam sudah lama popular yang telah disampaikan oleh insan popular iaitu Muhammad SAW.
5. Baginda popular sejak usia remaja di kalangan bangsawan dan orang biasa Quraish., iaitu bangsa Arab yang tinggi tamadun bahasa dan bisnes, tetapi jahil dalam bertuhan dan kepercayaan pada berhala serta kepercayaan tahyul. Nama Muhammad bin Abdullah di kenali oleh peniaga wanita berjaya dan ternama, dan semakin tersohor kepopularan apabila meraih keuntungan yang besar berniaga di Syam ( ie Syiria). Kemuncak kepopularan pemuda yang popular dengan gelaran sebagai AlAmin ini, ialah sehingga dilantik sebagai hakim (orang tengah )menyelesaikan perletakan semula Hajar Aswad dikalangan puak Quraish yang bertelagah.
6. Ini bermakna sejak usia muda Baginda SAW sudah memiliki imej tersendiri dan popular di kalangan masyarakatnya. Sehinggalah Baginda dan para sahabatnya menerima pelbagai tohmahan , cercaan dan seksaan apabila mahu mempopularkan Islam sebagai cara hidup di kalangan kaumnya sendiri.
7. Sehinggalah Islam menakluki dua per tiga dunia yang di pimpin oleh pimpinan yang popular, mempunyai imej dan mempunyai sejarah tersendiri sehingga ke hari ini. Imam yang empat- Maliki, Hanbali, Syafie dan Hanafi mempunyai imej yang tersendiri sehingga mereka begitu popular dan mempunyai ribuan anak murid ketika mereka masih hidup lagi, sehingga hari ini ajaran imam-imam ini menjadi pedoman umat dalam beramal ibadah.
8. Begitu juga ulamak terkemudian yang ingin mengembalikan Islam yang terpinggir dari diamalkan oleh orang Islam sendiri, kesemua mereka memiliki imej dan dikenali oleh khalayak. Mengambil contoh Imam Hassan AlBanna, ulamak ikhwan dahulu dan terkini, mereka mempunyai karisma tersendiri, mereka mengelinap masuk dalam masyarakat serta dikenali termasuk dikenali oleh musuh Islam. Mereka berpidato, bersyarah, berkhutbah, menulis dan membukukan fikrah mereka agar dapat di warisi oleh generasi akan datang.
9. Tetapi malang, realiti di Malaysia, pendakwah haraki tidak popular berbanding pendakwah yang tidak berharaki. Motivator biasa lebih popular atau Ustaz biasa atau pendakwah berjenama politik lebih kehadapan dalam acara dakwah umum.
10. Walaupun mereka sudah ada wadah dalam berdakwah dan bukan setakat tidak di kenali seMalaysia, malah tidak dikenali di dalam negerinya atau daerah sendiri, dan lebih parah lagi tidak dikenali di kariahnya!! Sedangkan mereka tahu penjenamaan wadah itu sangat penting supaya dikenali dan tahu bahawa nama individu duat juga penting untuk dikenali oleh orang ramai.
11. Sebaliknya ada NGO biasa yang lebih kehadapan memberi respon dalam sesetengah isu, tetapi pendakwah ini seolah membisu dari mengambil peluang yang ada. Mengulas isu relavan dengan masalah umat itu antara kaedah untuk memperkenalkan nama individu dan nama wadah masing-masing. Sebagai contoh NGO biasa seperti Persatuan Pengguna Islam lebih dikenali dari NGO Dakwah Islam.
12. Juga tidak dinafikan karisma dan karektor yang tidak menonjol di kalangan mereka ini ketika berhujah, berceramah berbanding perunding motivasi biasa. Dan yang amat ketara, bidang dakwah pembukuan fikrah amat 'janggal' di kalangan duat di Malaysia ini berbanding dengan duat yang raut wajah dan bahasa hampir sama iaitu di Indonesia. Dikatakan hampir setiap bulanada saja buku-buku baru terbit hasil tulisan atau terjemahan buku oleh pendakwah haraki disana. Jika adapun di Malaysia ini bilangan mereka amat sedikit, sedangkan berjuta umat di Malaysia ini yang hauskan bimbingan melalui syarahan dan pembacaan.
13. Maka tidak hairan apabila dakwah di Malaysia belum mengelinap masuk ke sekolah, kilang, kampung, setinggan, pekerja buruh, dan golongan bawahan yang lain. Yang agak popular berdakwah di kalangan cendikiawan di IPT dan itupun baru cebisan. Juga sedikit-sedikit berdakwah umum di surau atau masjid. Maka lagi sekali tidak hairan apabila bilangan barisan penyokong dakwah amat kurang bilangannya, khasnya dikalangan kurang terpelajar
14. Imej dan populariti mempunyai tingkatan tertentu, tetapi asasnya mesti di kenali oleh khalayak dan mesti ada beberapa duat ini mempunyai PAKEJ dan imej untuk keluar kepada masyarakat. Pakej yang boleh menarik minat orang ramai samada melalui ceramah atau penulisannya.
15. Mereka yang memiliki 'lesen' nama bergelar Ustaz/Ustazah atau Ir atau Dr - usah sia-siakan lesen ini untuk membina imej dan pakej dakwah masing-masing. Yang tidak mempunyai lesen ini, tidak bermakna duduk di barisan kedua sahaja!!!
16. Pengarapan umum ( rabtul am) bukan hebat dari teori dan kaedahnya, tetapi perlaksanaannya.
....akan datang...." Belum Matang Berdakwah "