Pages

Wednesday, August 26, 2009

Zahir Berlapar, Tetapi Batin Juga Turut Lapar!

1.Betapa bertuahnya kita masih bernafas dan beribadah di dalam bulan tarbiah ini, bulan Ramadhan.

2. Bukan sekadar kerana ganjaran pahala beribadah, tetapi keberkatan bulan ini yang membuka banyak hati untuk bermotivasi meningkatkan kuantiti ibadah

3.Dahaga, berlapar dan tidak melakukan hubungan kelamin adalah kontrak asas ketika berpuasa. Perkara halal menjadi haram sepanjang siang hari Ramadhan.

4. Mesej utama berpuasa ialah arahan Allah SWT agar berkorban meninggalkan nikmat dunia ( perut dan seksual) secara total pada siang hari. Nikmat penglihatan, pertuturan, pendengaran dan bau juga di kawal dan terarah. Juga termasuk galakan mengurangkan nikmat tidur serta mengurangkan nikmat makan-minum pada sebelah malam Ramadhan.

5. Ramadhan ialah bulan kursus sebulan untuk bekalan akhirat! Menyuci hati dengan mengenepikan nikmat dunia. Berlatih memisahkan diri dari kecintaan dunia dan sebaliknya dilatih mencintai syurga. Mengapa sebulan dan berturut-turut pula latihan ini ?

6.Walaupun sebulan pada setiap tahun latihan untuk mencintai akhirat, tetapi berapa ramai dari kita gagal menepati mesej meninggalkan nikmat dunia ini. Setelah berlapar untuk beberapa jam, sebelum berbuka lagi, emosi, selera, mata sudah kembali seperti biasa bila mencari dan membeli juadah berbuka. Ramai yang masih gagal membendung cinta pada makan-minum, seronok dengan keramaian. Perut kembali kenyang dengan beraneka hidangan, maka tercapaikah maksud mencintai akhirat apabila dalam kekenyangan sepanjang malam? Ada yang sanggup mencari cinta dunia dengan kerap berbuka secara mewah di hotel. Berlaku pembaziran wang, masa dan di katakan hanya 27 hotel yang telah mendapat sijil halal berbanding ratusan hotel yang menawarkan acara berbuka ini.

7. Mengumpul pahala, umpama mengumpul 'wang ringgit ' yang menjadi tukaran di akhirat nanti. Wang dunia membolehkan kita membeli sebesar-besar rumah dan kenderaan. Jumlah wang yang kecil, kita hanya mampu membeli rumah dan kereta yang kecil juga. Dengan pahala, melayakkan kita menikmati nikmat syurga. Jika di dunia ada pelbagai tahap martabat manusia, di syurga juga ada perbezaan martabat yang menurut kualiti dan kuantiti amal dan pahala yang di bawa.

8. Ramadhan ialah peluang khas untuk kita membanyakkan pahala, tetapi berapa ramai yang benar-benar bermotivasi dan kreatif menambah pahala?

9. Walaupun bilangan yang hadir bertarawih ramai, tetapi berapa ramai pula orang yang hatinya yang hadir mengingati Allah? Dan lebih lebih malang mereka hilang dari saf-saf surau/masjid selepas bulan ini!

10. Ada yang tertipu dengan pencapaian menunaikan tarawih berjemaah sebagai ibadah yang membezakan ibadahnya dari bulan-bulan lain! Sebaliknya tidak teruja untuk membaca AlQuran, tidak merancang untuk khatam, berazam bangun awal untuk beribadah, liat untuk berdoa dan kelu untuk berzikir. Jika diperhatikan, selesai solat Zuhur dan Asar di kebanyakkan masjid, sedikit benar orang yang mahu membaca Al Quran !
11. Saya terfikir, apakah orang kita tidak merancang beribadah sebelum bersahur dengan membudayakan solat witir sebaik solat tarawih? Witir ialah penutup solat untuk malam itu. Tahniah kepada mereka yang solat witir sebaik solat tarawih dan menyambung semula solat sebelum bersahur!


12. Budaya popular seperti meriah di bazar Ramadhan dan meriah menyambut syawal adalah budaya yang tidak memenuhi mesej untuk meninggalkan keseronokan dunia. Manakala budaya popular meriah tarawih itu, bukan juga bermakna seronok untuk mengejar akhirat, kerana budaya ini lenyap begitu sahaja sebaik Ramadhan berlalu. Sebaliknya budaya makan-minum dan budaya keraian itu terus subur sepanjang tahun.
13. Akhirnya, zahir memang terpaksa berlapar tetapi batin masih lapar sepanjang Ramadhan.
14. Manakala pada bulan lain, batin ( roh) masih kelaparan sebaliknya zahir sentiasa kekenyangan.
15.Pilihan untuk memasuki kelas @ katagori syurga itu hanya di tangan kita! Dunia tidak seberapa, akhirat pula?