1. Semalam dan hari ini, di dada akhbar terpampang hasil kajian terhadap kempen 'tak nak merokok' yang dimulakan sejak 4 tahun lalu, di katakan kempen ini gagal sama sekali. Dan ada beberapa testimoni dari perokok tegar di kalangan orang politik terkemuka dan artis terkenal yang seolah-olah 'bangga' setelah sekian lama merokok, serta alasan yang diberikan untuk tidak membuang tabiaat ini. Kempen ini yang sudah menelan jutaan ringgit.
2. Yang ketara ialah orang Melayu semakin bertambah bilangan perokok baru, iaitu bangsa terbesar di Malaysia ini yang lebih membakar duit dan gagal untuk berhenti. Dari remaja sekolah, pengawal keselamatan, buruh, kaum bapa, sehinggalah pegawai atasan, ahli politik, termasuk yang terhormat dalam masyarakat masih kekal merokok dan ianya satu pemandangan biasa dimana-mana sekali pun.
3. Lelaki Melayu yang tidak merokok, boleh dikira dengan jari dan wanita Melayu yang merokok pula semakin tidak terkira jumlahnya.
4. Jika diimbas semula, kempen apakah yang benar-benar berjaya? Jika kempen itu ditujukan kepada orang Melayu, maka hasilnya ternyata sangat mengecewakan. Contohnya kegagalan kempen membaca, yang mana orang Melayu adalah bangsa yang paling kurang membaca. Kempen perangi dadah yang sudah lama Melayu menjuarai penagihannya. Kempen hidup cergas, tetapi Melayu masih jarang kelihatan beriadah. Serta beberapa kempen lain yang terbukti kegagalannya seperti kempen mat rempit dan kempen anti-vandalisma. Dan umum mengetahui bahawa telah lama gagal dalam kempen untuk Melayu yang melibatkan perniagaan dan pertanian- yang berjaya cuma sekelumit sahaja.
5. Orang sudah 'mual' untuk bercakap tentang SIKAP, tetapi itulah kunci segala kegagalan kempen demi kempen ini. Sikap si Melayu dan sikap bukan Melayu memang berbeza dalam banyak hal, walaupun Melayu ini mengambil sikap untuk beriman dengan Allah dan Muhammad SAW sebagai ikutan. Memang menghairankan sikap dalam beragama ini tidak merubah sikap negatif yang sedia, dan menjadi stigma yang ada pada majoriti manusia yang bernama Melayu ini.
6. Benarkah Melayu secara kolektifnya belum mencipta sejarah hebat? Apakah adab beragama dan adap keMelayuan belum cukup untuk merubah paradigma?