Pages

Thursday, May 20, 2010

Idealisme, realiti dan tidak praktikal

Atikel ini di sunting dari Utusan online yang di siarkan baru-baru ini, dan komentar saya

PADA tahun-tahun lewat 70-an dan awal 80-an, adalah zaman awal di mana ramai anak-anak muda Melayu mendapat peluang belajar keluar negara.
Dalam satu projek kejuruteraan sosial besar-besaran, kerajaan Malaysia percaya melalui pendidikan tinggi di luar negara, anak-anak Melayu ini kelak akan menyumbang kepada peningkatan pendapatan bangsa dan seterusnya menepati harapan dasar Ekonomi Baru (DEB).
Masa itu usaha bagi mencapai matlamat DEB sedang rancak dilakukan dengan harapan amat tinggi agar lahirlah generasi profesional Melayu yang terdedah kepada pendidikan bermutu di Barat.

Tetapi pada waktu yang sama dunia dilanda oleh apa disebut sebagai kebangkitan semula agama Islam. Istilah yang digunakan oleh pihak Barat ialah fundamentalisme. Perang Dingin sedang berlaku di mana disaksikan pertembungan sesama negara-negara Islam, iaitu antara yang bersekutu dengan Soviet dengan yang memihak pada Amerika.

Kekayaan minyak dan masalah Palestin menimbulkan kesedaran mengenai nasib orang Islam yang ketinggalan dengan menolak apa yang ditawarkan oleh Barat.

Akhirnya keadaan ini mendorong kepada usaha kembali kepada ajaran Islam yang dianggap sebenar, bersih dari pengaruh fahaman-fahaman Barat.

Sememangnya golongan yang mudah menerima pengaruh ini adalah kalangan pelajar-pelajar. Ia berlaku di banyak tempat di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Cumanya pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di luar negara lebih terdedah dengan fikiran-fikiran sebegini kerana sifat masyarakat Barat yang terbuka.

Maka muncullah gerakan dakwah di kalangan pelajar Malaysia di luar negara. Kegiatan mereka ini muncul dalam bentuk kumpulan-kumpulan kecil yang dikenali sebagai usrah.

Maka dari sini, mereka berusaha untuk hidup menurut ajaran Islam mengikut fahaman mereka secara ideal, ketat dan eksklusif.

Mereka membayangkan akan dapat hidup sebagai seorang Islam yang penuh idealistik dengan keinginan untuk mencapai kesempurnaan.

Bukan saja dari segi pemikiran dan amal ibadat tetapi juga dalam kehidupan berkeluarga. Maka pelajar-pelajar ini akan mencari pasangan untuk mendirikan rumah tangga yang dianggap sebagai ideal dan Islamik.

Tentunya pelajar-pelajar lelaki yang pandai berceramah atau berhujah akan dikagumi oleh pelajar-pelajar perempuan yang mendambakan suami yang soleh.

Begitu juga di pihak lelaki, mereka juga menginginkan isteri yang solehah dan perkara itu diharapkan dapat diperoleh daripada pelajar-pelajar perempuan yang mengikuti usrah-usrah mereka.

Bagaimanapun idealisme pelajar-pelajar ini bertembung dengan realiti apabila mereka kembali ke tanah air.

Dengan kelayakan profesional dan pendidikan tinggi, mereka sudah mendapat pekerjaan yang berpendapatan baik di tanah air. Mereka juga berkeluarga dan berhadapan dengan realiti hidup dalam masyarakat yang tidak ideal. Apakah yang dikatakan masyarakat ideal? Perkembangan masyarakat hanya mengikut fitrah alam. Persekitaran, sejarah, biologi dan psikologi manusia menghasilkan bentuk sosial tertentu. Idealisme berada dalam fikiran manusia tetapi realiti masyarakat sukar hendak menepati idealisme itu. Pelbagai penyesuaian dan aksi serta reaksi sesuatu dinamika masyarakat menjadikan keadaan apa yang sebenarnya berlaku.

Di kalangan orang Islam yang idealis tentu juga mereka menginginkan sebuah masyarakat dan negara yang mengikut lunas-lunas ajaran islam yang idealis seperti yang mereka fahami.

Tetapi realitinya amat berbeza daripada idealisme. Malah untuk mengamalkan ajaran Islam seperti yang dipelajari dan dihayati semasa usrah di luar negara sebelum itu juga merupakan satu cabaran.

Apabila usia meningkat dan berdepan dengan pelbagai masalah dalam keluarga, maka idealisme beransur-ansur luntur apabila menghadapi realiti.

Maka setelah dekad berganti dekad, ke tahun 90-an dan 2000-an, maka apa yang dipelajari dan dihujahkan dalam usrah-usrah tahun 70-an dan 80-an didapati tidak praktikal atau tidak dapat dipraktikkan.

Mungkin kerana kemampuan diri masing-masing sebagai manusia yang tidak berupaya untuk menjadi ideal seperti yang dicita-citakan semasa menjadi pelajar dahulu, maka mereka ini berubah.

Dalam bekerja, mereka akan berhadapan dengan masyarakat dan dunia profesional yang berbeza, malah bertentangan dengan idealisme Islam mereka.

Begitu juga dengan hubungan dalam masyarakat dan kehidupan politik bernegara. Pastinya akan didapati bahawa realiti tidak dapat menampung idealisme, hatta yang berasaskan pada agama.

Penyesuaian perlu dibuat bagi menghadapi realiti. Maka tidak hairanlah apabila didapati bahawa anak-anak muda yang berkobar-kobar bersyarah semasa menjadi pelajar tetapi kemudiannya dari segi amalan hidupnya telah berubah, tidak seperti apa yang diucapkan dalam keluarga, mereka gagal menjadi suami yang baik seperti yang dikehendaki oleh agama, yang akhirnya membawa kepada perceraian. Realiti cinta dan keperluan hidup menjadikan apa yang dicita-citakan hanya merupakan idealisme layak berada dalam kitab-kitab dan isi ceramah semata-mata.

Tentunya setelah hidup berdekad-dekad dan mempunyai pengalaman melalui kerenah pelbagai manusia serta pergolakan dunia, maka seseorang dapat menilai antara idealisme, realiti dan keadaan tidak praktikal sesuatu pegangan. Mungkin keadaan ini dianggap sebagai kematangan dalam usia yang bertambah.Dalam hal ini kesimpulannya ialah pastinya Islam bukan agama idealis. Dalam tradisi Islam disebut bahawa agama ini menurut fitrah manusia. Kewujudan adalah sunatullah, iaitu aturan Allah. Pastinya agama ini terpancar daripada realiti, dan pasti ia praktikal
1.Tulisan ini merujuk kepada rakan senior atau sebaya atau berusia 4-5 tahun lebih muda dari saya yang pernah menuntut di luar negara. Saya cuma meneka bahawa penulis ini seorang yang juga lulusan luar negara dan mungkin pernah berada di dalam tarbiah melalui usrah .
2. Usrah itu tetap berjalan, malah lebih kemas lagi sekembalinya dari luar negara. Malah terus berkembang dengan pesatnya.
3.Penulis menulis begini,"Apakah yang dikatakan masyarakat ideal? Perkembangan masyarakat hanya mengikut fitrah alam. Persekitaran, sejarah, biologi dan psikologi manusia menghasilkan bentuk sosial tertentu. Idealisme berada dalam fikiran manusia tetapi realiti masyarakat sukar hendak menepati idealisme itu. Pelbagai penyesuaian dan aksi serta reaksi sesuatu dinamika masyarakat menjadikan keadaan apa yang sebenarnya berlaku". Memang persekitaran mempengaruhi manusia, sejarah di rujuk serta cara fikir manusia menentukan hala tuju manusia. Maka fikrah yang ada di dalam usrah ini di terapkan agar individu-individu ini akan menjadi batu bata yang akan merubah bagunan kehidupan, merubah persekitaran dan minda masyarakat melalui nilai Islam. Dan seterusnya SEJARAH baru dicipta. Islam memang ideal kepada mereka yang mahu lari dari kehidupan ideal dan mereka yang suka berfikiran logik tanpa ilmu.
4. Dan sememangnya untuk menerap masuk di dalam sistem masyarakat yang sekian lama sudah tidak mengamalkan ajaran Islam adalah sesuatu yang sukar. Namun pembentukan masyarakat baru dari perkahwinan adalah sesuatu yang lebih praktikal untuk membentuk generasi baru.
5. Kegagalan 'ahli usrah' untuk menampilkan gaya hidup Islam setelah mereka memasuki alam pekerjaan, bukanlah kerana sistem tarbiah yang di katakan ideal itu, tetapi di atas kelemahan individu. Begitu juga kelemahan untuk menyebarkan fikrah mereka ketengah masyarakat.
6. Memang benar, ada institusi rumah mereka yang gagal bertahan lama, tetapi bilangannya amat kecil, namun di akui ramai juga antara mereka ini gagal melahirkan anak-anak yang bakal mewarisi fikrah mereka atau anak mereka tiada beza dengan anak-anak orang lain yang tidak pernah ada usrah. Dan tidak kurang pula yang terus larut dalam kelazatan dunia seiring semakin mendapat nikmat fana ini.
7. Jika Islam itu hasil dari fitrah manusia semata-mata, maka tidak perlu orang-orang yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah mungkar. ISLAM ITU AGAMA FITRAH YANG MEMENUHI DAN YANG MENCORAK FITRAH MANUSIA.