Pages

Friday, April 30, 2010

Pada Malam Itu..

KENAPA SAYA BEKERJA
( Dr Nor'Izam Alias)

Malam itu begitu sukar untuk saya melelapkan mata, memikirkan janji yang telah di buat dengan ayah petang tadi. Apakah langkah yang dilakukan itu tepat?


Seolah-olah rasa terjerat dan tiada pilihan terpaksa akur dengan permintaan ayah yang selama ini menaruh harapan tinggi pada kami lima beradik. Beliau berdoa siang dan malam semoga anak-anaknya berjaya di kemudian hari, berguna kepada agama, bangsa dan di segani masyarakat. Bukankah itu harapan yang diimpikan oleh kebanyakan ibu-bapa?


Ayah benar-benar gembira bila saya diterima ke menara gading namun kegembiraan itu tidak bertahan lama. Beliau mula berang dan hilang sabar bila mengetahui yang anaknya yang seorang ini telah mula bertudung setelah sebulan memulakan sesi pengajian.Petang itu sekembalinya dari kelas ayah tiba –tiba bersuara, ‘Ayah nak kau buka tudung…’
Saya hanya mendiamkan diri takut nak bersuara, nanti dituduh derhaka pula. Ibu hanya mampu memerhati dengan penuh belas dan risau, takut-takut tangan ayah akan menyinggah ke muka anaknya ini.

Ayah benar-benar berang dan dengan nada keras meneruskan ‘Kalau kau tak nak buka tudung tak payah belajar duduk rumah saja, tolong mak engkau!
Tiba-tiba ibu bersuara ‘Sabarlah kesian budak tu’. Ayah bersuara lagi ‘ Diamlah ! Kau mana tahu, ramai budak-budak yang pakai tudung berhenti belajar dan tidak mau berkerja. Penat jerih sekolahkan dia orang.”



Tak pernah kulihat ayah seberang itu Kesian ibu tak pasal-pasal diherdik ayah. Saya hanya mampu berdoa semoga diberi kekuatan untuk menghadapi dugaan ini.Dengan kuasa Allah s.w.t tiba-tiba kekuatan itu datang dan dengan nada yang tersekat-sekat digagahi untuk bersuara ‘ Aa..ayah sa..saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh hingga peringkat tertinggi yang saya boleh capai. Dan selagi diberi kekuatan akan terus bekerja, insyallah.” Lidah ini tiba-tiba kelu dan tidak mampu meneruskan kata-kata lagi. Nampaknya hanya setakat ini sahaja kekuatan yang diberi oleh Allah s.w.t.dan bersyukur kerana ayah nampaknya mula yakin dengan pendirianku.

Namun kebimbangan mula menguasai diri ini. Apakah mampu mengotakan apa yang telah dijanjikan? Maklumlah baru sahaja berada di semester satu. Perjalanan masih begitu jauh dirasakan. Kalau tak lulus macammana ye? Ah! bisik hati kecilku yang penting usaha dan kesudahannya serahkan sahaja kepada Allah s.w.t.


Walaupun terasa selesa dengan restu yang ayah telah berikan namun masih terngiang-ngiang ditelingaku apa yang telah diperkatakan oleh ayah petang tadi. Betul ke ramai yang memakai tudung berhenti kerja dan apakah sebabnya?.Berbagai bagai persoalan menghantui pemikiran


Masa berlalu dengan begitu pantas dan tanpa disedari zaman pelajar telah lama ditinggalkan. Kini saya bekerja sebagai pegawai perubatan di salah sebuah hospital kerajaan. Ayah berpuashati dengan pencapaian ini.. Maklumlah tidak sia-sia usaha dan doanya selama ini. Bagi ayah dan ibu mereka tidak pernah mengharapkan balasan . Kejayaan anak-anak adalah kejayaan mereka jua.


Namun dapat dirasakan cabaran mendatang tidak semudah ketika berjanji dengan ayah dahulu.Maklumlah ketika itu masih sendirian dan kini bergelar isteri dan ibu kepada 4 orang anak. Salman adalah anak kami yang bongsu dan kini berumur 8 tahun.


Pada tahun 2002, ketika berusia 2 bulan, Salman yang dilahirkan normal tiba-tiba sukar bernafas. Menyedari pernafasannya semakin lemah, cepat-cepat saya kejutkan suami dan menghulurkan Salman padanya. Terdetik di hati ini mungkin Allah lebih sayangkannya dan hanya dapat bersamanya untuk satu jangka masa yang amat pendek

Walaupun dalam keadaan terpinga-terpinga (maklumlah jam di-dinding menunjukkan tepat pukul 3.pagi) namun sepeti yang dijangka suamiku cepat bertindak. Itulah kelebihannya, selalu tenang dan tabah biarpun dalam keadaan yang begitu getir.

Tanpa banyak soal, suamiku terus melakukan pernafasan mulut-kemulut apabila menyedari yang nadinya masih berdenyut biarpun pernafasannya semakin lemah. Saya hanya sempat berbisik “Apa pun ketentuan Allah kita pasrah ye. Dah tak sempat nak bawa hospital ni”.

Beberapa minit kemudian pernafasan Salman semakin baik. Sesuatu yang tidak kami jangka. Bersyukur kepada Allah akan kurniaannya. Keesokannya Salman ke dimasukkan kehospital untuk beberapa hari.


Dalam diam-diam pertanyaan menghantui diri apakah peristiwa ini merupakan satu petunjuk dari Allah s.w.t bahawa adalah lebih baik untuk duduk dirumah saja? Maklumlah kini Salman memerlukan jagaan rapi. Pembantu rumah yang pada mulanya penuh yakin dapat menjaga Salman kini mula meluahkan kerisauannnya, takut-takut peristiwa itu berulang kembali. Ya Allah berilah petunjuk dan kekuatan. Ya Allah mudahkanlah urusan kami dan berkatilah ia Ya Allah.


Keesokan harinya saya begitu terharu sekali.Tanpa disangka rakan setugas dari Universiti berdekatan tampil sukarela untuk mengambilalih tempatku tanpa banyak soal.Ya aku masih ingat lagi kata-kata dari jururawat tempat aku bekerja, “Bersabarlah jangan bimbang tentang klinik dan pesakit kami akan usahakan yang terbaik.”. Saya meneruskannya “ Nanti jangan lupa sampaikan salam dan terima kasih saya padanya ye. Kemungkinan besar saya terpaksa tambah cuti saya selama beberapa minggu lagi kerana bimbang kejadian itu berulang kembali.”



Selang beberapa hari Salman dibenarkan pulang setelah kesemua ujian tidak menunjukkan sebarang keabnormalan. Ketika menjaga Salman dirumah rasa lebih tertekan lagi dan buntu apakah langkah seterusnyan yang perlu dilakukan.Kuulang soalan itu berkali-kali “Apakah lebih baik tinggal di rumah……?


Namun segalanya seperti dirancang, jiran sebelahku Kak Hajah tiba-tiba meluahkan kesanggupannya untuk menjaga Salman.Katanya “ Doktor pergilah bekerja, biar akak jaga Salman. Akak pun tak bekerja dan anak-anak pun dah besar.” Beliau begitu memahamiku dan seolah –olah boleh membaca apa yang bermain di fikiran. Setiap kali Salman menangis saya kerap tersentak dan buntu dan setiap kali itulah Kak Hajah akan segera kerumah untuk membantu meredakan keadaan..Terfikir juga bagaimana Kak Hajjah boleh mengesan semua ini sedangkan saya tidak pernah berbincang dengannnya ?


Soalan itu terjawab setiap kali aku melihat beliau mendukung dan membelai Salman dengan penuh kasih sayang.Sesungguhnya Kak Hajjah telah dipilih oleh Allah s.w.t untuk menjadi seorang surirumah sepenuh masa.


Satu pilihan yang cukup tepat. Itulah medan kerja beliau dan akan diteruskan untuk dimanafaatkan oleh sesipa yang memerlukan pertolongan biarpun kini anak-anaknya sudah dewasa. Nampaknya beliau cukup serasi dengan medan ini dan seluruh keluarga dan jiran-jiran mengkagumi dan memuji usaha-usaha beliau. Rupa-rupanya ramai anak-anak jiranku yang pernah dijaga ole Kak Hajah ketika mereka masih bayi dan kini kemesraan itu masih diteruskan biarpun kini mereka telah pun dewasa.


Kak Hajah membuka mata dan menggerakkan hatiku untuk meneruskan medanku. Sesungguhnya Allah s.w.t telah memberikan petunjuknya dalam bentuk yang cukup hikmah untuk aku meneruskan pekerjaanku.Allah berkuasa melakukannya seperti dalam firmannya yang bermaksud;

“Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamanya(agama Islam);sesungguhnya Allah maha kuat dan maha kuasa. (Al- Haj:40)



Dengan bantuan dari Kak Hajah dan rakan-rakan yang lain saya pasrah dengan apa yang berlaku dan kini membina kekuatan untuk kembali kemedan bekerja semula..Malahan berazam untuk meningkatkan lagi penglibatan dalam aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan .

Kini bertambah yakin untuk mengatakan “ Ayah saya bekerja bukan sekadar mengotakan janjiku pada mu tetapi mencari sesuatu yang lebih besar lagi iaitu redha dari Allah s.w.t.” Semoga Allah menerima amal kita semua.Amin.Tapi kini ayah telah tiada lagi. Tanggal 21 Julai 2008 menjadi tarikh yang bersejarah bilamana Ayah dipangil pulang menemui penciptanya. Saya pasrah namun usaha tetap diteruskan jua.
SELAMAT HARI PEKERJA.