Pages

Wednesday, June 22, 2011

Siapa Yang Mabuk?

1. Pada artikel sebelum ini, saya menceritakan kisah saya sekeluarga ke Langkawi, iaitu pulau yang dikatakan bebas cukai (khasnya rokok dan arak). Maka kelihatan bertimbun-timbun arak dalam tin dan botol dijual. Malah diberitakan ramai anak muda Melayu Langkawi yang 'bersapau' dengan minuman arak ini. Mereka mabuk arak dan mabuk dunia.




2. Pada kesempatan lain, baru-baru ini saya beberapa hari mengiringi isteri untuk menghadiri seminar di dua lokasi iaitu di Hotel Pullman, Putrajaya dan Hotel Traders disebelah KLCC.



3. Putrajaya yang dibina pada awal 1990an, dan walaupun saya pernah melihat master plan dan melihat perkembangan pembinaannya, namun saya cuma beberapa kali menjejak kaki kesana. Keadaan Putrajaya pada hari ini membuatkan saya seperti tidak berada di Malaysia. Melihat reka bentuk bangunan yang canggih dan berlainan bentuk pada setiap Kementerian (jabatan) kerajaan, malah bangunan Hotel Pullman yang cantik. tidak setanding dengan bangunan kerajaan di Pusat pentadbiran Malaysia itu. Mungkin Malaysia sahaja mempunyai bangunan pentadbiran kerajaannya semewah ini. Itu baru reka bentuk diluar, belum lagi reka bentuk dalamannya dan belum lagi kehebatan luaran dan dalaman kediaman rasmi PM ( juga pernah melihat master plannya) dan kediaman Pak Menteri dan Ketua Pengarah?



4. Masjid Putra dan Masjid Besi ( Tuanku Mizan), tersergam indah seperti ' indahnya ' cara fikir pengasas putrajaya ini. Segalanya hebat di Putrajaya ini dan pasti tersangatlah hebat wang dibelanjakan untuk membangunkannya. Jambatan dan reka eka bentuk serta penjagaan lanskap sahaja sudah ratusan jutaan ringgit. Segalanya seperti 1st class di sini, tetapi apakah minda pekerja dan penghuninya juga 1st class ?




5. Sebagai perbandingan, orang yang meminjam untuk membina rumah berharga RM 500 ribu ringgit ( setengah juta), akan membayar balik pada kadar sekitar RM 4-5 ribu sebulan, dan orang ini dikatagorikan sebagai kaya dan mewah serta 'gelojoh' dengan dunianya, walau tidak segelojoh dengan ' bapa gelojoh' ( bekas MB) yang telah membelanja RM 6.5 juta untuk hiasan rumahnya sahaja. Sebenarnya tiada perbezaan bapa gelojoh ini dengan kemewahan bangunan kerajaan di Putrajaya. Sedangkan bangunan bukan kerajaan yang nampak mewah dan canggih adalah bermotifkan perniagaan, tetapi apa yang boleh diraih dari bangunan kerajaan yang yang sebegini canggih? Maka lebih gelojoh dari bapa si gelojoh?




6. Akhirnya kekayaan Petronas dan hasil komodoti negara mencurah-curah UNTUK MEMBAYAR HUTANG PROJEK MULTI-BILLION PUTRAJAYA. Generasi akan datang dibebani hutang, malah pelajar IPT akan menanggung tambahan hutang lain yang mencecah RM 30 Ribu sepanjang pengajian, kerana luputnya biasiswa.




7. Menjejaki kawasan KLCC dan sekitarnya, juga membuatkan saya berada di negara asing. Berbeza dengan Putrajaya, kawasan mewah ini adalah lubuk perniagaan. Yang membuatkan saya 'mabuk' ialah melihat lautan manusia di Suria dan sekitar taman KLCC yang bertali arus dan beraneka ragam. Seperti biasa saya suka berfikir, kemana manusia ini mahu pergi? Dan melihat DUNIA INI BENAR-BENAR SYURGA BAGI KEBANYAKAN MANUSIA. Mereka mungkin tidak mabuk arak, tetapi mabuk dalam kesibukan mengejar dunia.



8. Maka tidak hairan kegelojohan dan pembaziran ini diteruskan oleh pimpinan berikutnya, maka mengapa sebahagian rakyat masih membisu dan membutakan penglihatan? Kemajuan kita sekadar bertompok-tompok, keadaan di Putrajaya dan KLCC tidak mengambarkan kehidupan rakyatnya, tetapi gambaran kehidupan pemimpinnya. Dalam perjalanan dari Putrajaya ke KLCC, kami singgah sebentar makan tengahari di Sri Serdang, iaitu salah satu taman yang menceritakan kehidupan sebenar orang orang pinggir bandar di Malaysia. Kami menahan 'mata' dari memandang kedaifan medan seleranya yang terkenal dengan puluhan lauk pauknya.



9. Kembali ke Springhill, hati menjadi tenang, selepas berada dalam alam kemewahan hotel dan persekitaran . Kembali memasuki semula kebun, kolam ikan dan kuching peliharaan serta kehidupan yang 'tidak laju' seperti di Kotaraya. Saya sendiri pernah 18 tahun menetap di K.Lumpur ( isteri saya lebih lama lagi), namun Kotaraya bukan tempat kami.



10. Sesunguhnya lokasi dan suasana persekitaran sangat mempengaruhi kehidupan. Namun apa yang boleh menjadi pengajaran dan motivasi ialah perlu istiqamah kesungguhan dan laju dalam menjayakan sesuatu dalam dunia yang laju ini.