Pages

Monday, September 28, 2009

Apa Selepas Ramadhan!!

1. Jawapan yang paling mudah dari soalan ini ialah, sambunglah puasa Ramadhan dengan puasa 6. Iaitu dengan jaminan dari Allah seolah-olah berpuasa pada setiap hari sepanjang setahun! Tahniah kepada mereka yang sudah habis puasa 6 .







2. Semalam saya memulakan semula siri ceramah dengan memenuhi jemputan dari Kagat Mindef K.Lumpur dan diantara saranan untuk diri sendiri dan mereka yang hadir iaitu pada bulan-bulan berikutnya dimana kita terus berpuasa paling kurang SEKALI pada SETIAP 6 HARI, bermakna puasa sunat seminggu sekali.



3. Latihan Ramadhan ialah untuk MENGEYANGKAN roh dan MELAPARKAN fizikal. Berpuasa sekali seminggu adalah kaedah untuk roh terus diberi makan.


4. JIka semasa Ramadhan lidah kita mahir menutur ayat-ayat Al Quran, maka berikhtiar untuk khatam 3-4 bulan sekali. Lebih kerap, maka makin kenyang roh.



5. Jika Ramadhan ringannya tangan untuk memberi, maka sensitiflah dengan tabung yang ada perkataan derma atau seumpamanya. Aman Palestin pun sudah menawarkan derma melalui sms. Semalam saya lihat iklan besar Aman Palestin di jejantas selepas tol Sg Besi sebelum susur keluar ke Faderal Highway- tahniah kepada Aman Palestin



6.Jika Ramadhan hati semakin lembut berukhwah, maka selepas ini eloklah kendalikan dan fokus kepada 'kenderaan' masing-masing, dan kurangkan memberi ulasan kepada 'kenderaan' yang lain secara terbuka. Kadang-kadang kita rasa ikhlas menegur, sebaliknya teguran itu boleh merenggangkan ukhwah. Ini pengalaman saya sendiri dan mengambil iktibar darinya. Jenama kenderaan itu mewakili organisasi, keluarga atau individu.



7. Jika tahap EHSAN tinggi di bulan Ramadhan, maka selepas ini kita terus merasakan kehadiran Allah, kerana Rahmat dan Rahim Allah untuk mereka yang MENCARI HIDAYAH.



8. Moga kita menyambut cinta dan kasih sayang Allah kepada kita, dan tidak seperti orang yang bercinta sendirian ( tepuk sebelah tangan sahaja). Sambutlah cinta itu terutama kita solat, doa, zikir , telaah bahan bacaan dan bertilawah iaitu dengan menghadirkan hati dan dengan kekhusyukkan.
9.Hidayah seperti kurniaan rezeki dari Allah. Hidayah mesti dicari, jika menunggu maka samalah dengan orang yang duduk menunggu rezeki. Kita bimbang rezeki itu kecil dan hidayah juga kecil. Rezeki itu tidak lancar datangnya dan lebih khuatir hidayah juga hadir dalam keadaan tersekat-sekat. Contohnya, sudah di beri hidayah untuk solat tetapi tidak diberi hidayah untuk khusyuk dan berjemaah. Sudah di beri hidayah menjadi duat, tetapi tidak di beri hidayah menjadi duat yang berhemah dan pekerja dakwah.