Pages

Tuesday, March 30, 2010

Melayu zaman Natrah vs Melayu masa kini

( berkesankan dakwah yang menyusuri isu demi isu? )
1. Anda yang berumur sekitar usia 30an atau lebih muda lagi, sebahagian besar dari anda saya yakin agak baru untuk mendalami serta memahami isu Natrah, gadis sunti ( 13 tahun)keturunan Belanda yang berkahwin dengan Mansur Adabi sebelum Malaysia merdeka dahulu. Disember 1950, berlaku rusuhan yang mengorbankan 18 nyawa dan ratusan yang cedera, selepas mahkamah tinggi Singapura membatalkan perkahwinan mereka dan Natrah dibawa pulang ke Belanda.

2. Sebahagian dari generasi saya, rasanya ada yang sudah hafal jalan cerita yang bermula apabila bapa Natrah ini dipenjarakan di Indonesia, dan selepas dibebaskan menuntut kembali anaknya yang diserahkan oleh isterinya tanpa pengetahuannya kepada Pn Che Aminah Mohammad di Jawa, Indonesia, dan berada dibawah jagaannya kira-kira selama 8 tahun. Bapa mana yang tidak mengasihi anak kandungnya, kasih bapa itu nyawa galang gantinya. Bapanya gagal menerusi mahkamah untuk menuntut kembali Natrah, tetapi episod bermula bila Natrah dikahwinkan pada usia 13 tahun.

3. Orang Melayu ketika itu sedang dijajah fizikalnya dan dalam semangat yang kental untuk mencapai kemerdekaan. Menurut seorang kenalan veteran saya, kini berusia 65 tahun, katanya ketika itu melihat muka orang putih pun orang Melayu menyampah dan ada bos mat Salleh di estet-estet getah takut keluar malam. Malah di Indonesia su

dah sampai kepada kemuncak kebencian terhadap Mat Salih , dan dengan alasan keselamatan maka Natrah dibawa ke Singapura.


4. Dua puluh tahun yang lalu, beberapa orang wartawan dari Malaysia menjejaki Natrah termasuk penulis buku Natrah terkini , iaitu Datin Fatini ( terdapat buku lain tentang Natrah ), dan masih segar dalam ingatan saya dalam akhbar utusan Malaysia ada dimuatkan secara bersiri kisah kehidupan Natrah pada ketika itu. Beliau meninggal dunia pada tahun lepas pada usia 72 tahun. Pada 1997, mendiang telah melawat keluarga angkatnya di Terengganu.


5. Mari kita fikirkan, agaknya apakah punca yang menyebabkan orang Melayu khasnya di Singapura dan Malaya ketika itu mengenepikan soal politik dan perbezaan pendapat untuk sama-sama terlibat dalam kes Natrah ini? Ya. Ketika itu orang Melayu di Singapura lebih terpelajar dan lebih terlibat dalam menentang Natrah di murtadkan. Ada yang dipenjara dan di ISAkan kerana Natrah! Dikatakan ada yang sanggup mengadaikan emas untuk membantu membiayai perbicaraan kes Natrah ini. Menurut veteran tadi, isu anak comel ini yang telah dibela oleh mak Minah itu juga adalah antara sebabnya, jika Natrah yang sudah di Islamkan itu bukan anak comel dari orang mat Salleh, mungkin lain ceritanya. Emosi penentangan orang Melayu ketika itu terhadap penjajah sudah dikemuncaknya, dan SAYA BERPENDAPAT BUKAN KERANA MEREKA LEBIH FAHAM ISLAM ATAU LEBIH BERAMAL DENGAN KEHIDUPAN ISLAM yang mendorong wujudnya umpama gelombang kesatuan orang Melayu! Malah isu nasionalis keMelayuan mendominasi dari perjuangan keIslaman.


6. Saya masih mencari jawapan tepat , apakah kaitan isu Natrah ini dengan isu umat Islam masa kini yang dikatakan TIDAK bersatu dalam soal aqidah dan maruah Islam ? Mungkin ada yang mengaitkan isu ini tidak jauh beza dengan yang baru-baru ini heboh diperkatakan, iaitu isu kalimah Allah. Isu ini dikatakan orang Melayu Islam tidak seghairah Melayu zaman Natrah atau dikatakan orang Melayu zaman ini tidak sensitif dengan isu ribuan anak-anak Melayu yang Islam sejak lahir tetapi sudah di murtadkan, ada yang di Hindukan dan sebahagian besarnya di Kristiankan. Itu belum termasuk bilangan mualaf yang kembali murtad!


7. Jika kita sekadar BERMAIN dengan isu sampingan dan tidak melihat pokok (usul) kepada masalah umat , termasuk bermain dengan isu paling baharu, dimana telah disahkan anak luar nikah bangsa Melayu pada tahun 2009 sahaja mencecah 17,300 orang ( ini belum termasuk kandunagn yang sengaja di gugurkan dan tidak didaftarkan ), maka KITA akan disibukkan mengulas dan membincangkan masalah mengikut ISU DEMI ISU!


8. Maka begitu juga sudah TERSALAH LANGKAH BERDAKWAH APABILA BERDAKWAH MENGIKUT ISU DEMI ISU. Saya bukan tidak bersetuju apabila ada badan dakwah mahu berdakwah dengan membincangkan isu Natrah yang ‘dipanaskan’ semula ini, tetapi ianya isu yang saya panggil ‘ pi mai pi mai tang tu juga’, ( namun ianya boleh dijadikan program adhoc sebagai promosi penjenamaan organisasi dakwah ). SEDANGKAN ISU UTAMA sudah lama dihadapan mata! Apakah isu utamanya? Jika jawapannya masih samar , maknanya dakwah itu juga masih samar.


9. Badan dakwah melihat kesatuan orang Melayu lemah dan tidak bermaya, sedangkan dikalangan pendakwah Melayu Islam juga 'TIDAK BERSATU'. jIKA bersatu pun apabila ada isu sensasi atau isu pi mai pi mai tadi. Malah ada yang ‘alergik’ sesama mereka atau penyatuan seperti sama-sama duduk ditangga, kemudian terbatuk-batuk.


10. Saya selalu menyebut bahawa soal mungkar dan jenis-jenis kemungkaran, sudah letih disyarahkan , dihujahkan dan diseminarkan, tetapi SEJAUH MANA badan dakwah ini boleh bersatu hati dan bersatu tenaga, seperti bersatu untuk menjadi pendesak kepada kerajaan dan bersama dengan penguat kuasa untuk mengganyang mungkar secara istiqamah!


11. Dalam beberapa hal, pendakwah ini lebih cenderung untuk menyeru kepada kebaikan tetapi tidak bersungguh dalam mencegah kemungkaran. Saya mengambil contoh mudah yang pernah disebut oleh seorang teman, iaitu jika NGO dakwah Melayu dan NGO orang Melayu termasuk parti politik Melayu bergabung lalu mendesak kerajaan untuk menutup terus semua sengsawang lucah di dalam internet, tentu sudah lama racun ini dibuang didalam mangkuk madu yang kita berikan pada anak-anak. Seperti mana Kerajaan Negeri Cina sudah pun melakukannya. Atau mendesak media elektronik agar menghentikan siaran drama berunsurkan khurafat dan syirik serta bahan-bahan cetak yang berunsurkan keberahian, atau mendesak supaya kajian terperinci terhadap kes pemurtadan orang Melayu. Dan banyak lagi contoh lain dimana kelompok dan semua individu muslim boleh memberikan peranan.


12. Di antara pokok kepincangan umat Islam ini ialah bilamana surau masjid lenggang, AlQuran didalam almari, dan kemasyaratan dikesampingkan. Malah mereka yang sensitif mengulas ISU DEMI ISU tadi, solatnya istiqamah di rumah atau tilawahnya malam jumaat sahaja. Inilah isu yang harus diutamakan oleh pendakwah. Ajak umat agar mencintai masjid dan ilmu, sepertimana langkah terawal yang dibuat oleh Khalifah Umar AbdAziz diawal pemerintahannya. Jangan sekadar seronok ‘bermain’ dengan seruan menghayati Islam syumul tetapi berhubung dengan Allah tidak syumul!!! Yakini bahawa Allah menurunkan kerahmatan ke dalam pemerintahan singkat Umar AbdAziz ini sehingga serigala tidak lagi memakan ternakan. Dan yakinlah rahmat Allah kepada mereka yang menjaga kualiti ibadahnya. Apakah ini isu remeh? Lalu diserahkan kepada ustaz-ustaz / penceramah biasa berdakwah agar masjid dimeriahkan! Isu ini perlu kepada mudus operandinya dan berterusan.


13. Isu Natrah, isu kalimah Allah, isu ajaran sesat, isu murtad, isu akhlak remaja semakin rosak, isu peningkatn penceraian, isu orang kafir semakin berani di Malaysia ini dan sebagainya adalah janji kecelakaan Allah untuk mereka yang sentiasa jauh dan lalai. Sebaliknya ada yang merasa dirinya dekat dengan Allah, tetapi hatinya tetap jauh ketika solat, maka tetap mendapat kecelakaan, ( Al Ma’un:4-5). Kecelakaan itu untuk semua, kerana sebahagian besar dari kita sentiasa lalai dalam solat. Manakala mereka yang memerintah dan mentadbir sudah lama lalai dari menegakkan syariat Nya. Maka kecelakaan untuk semua. Gejala demi gejala menimpa orang Melayu, bermakna menerima bala demi bala . Jangan fikir bala Allah itu dalam bentuk gempa bumi , banjir besar atau tsunami semata-mata!!


14. Berbagai usaha sudah dan akan dilakukan oleh pendakwah dan oleh pemerintah membetulkan kepincangan umat, sebaliknya kemungkaran masih semakin menjadi-jadi. Yakinlah bukan kerana usaha untuk kejayaan, tetapi apabila tiada keberkatan dari Allah, maka kita semakin kecewa dengan telatah orang Melayu ini. Mengapa jauh dari rahmat Allah, sama-samalah kita fikirkannya dan muhasabah diri!

14a)Isu-isu yang bukan pokok ini boleh dijadikan teras dalam dakwah tetapi mesti diambil sebagai usaha berterusan. Tahniah kepada organisasi yang telah mengadakan program berkaitan isu pergaulan bebas dan perzinaan. Saya juga terlibat secara langsung dalam isu psikoseksual ini tetapi lebih kepada remaja wanita. Walaupun gelombang besar salah laku seksual sentiasa membadai, paling tidak ada usaha berterusan untuk menongkah arus.

14b) Juga bukan isu pokok untuk menangani isu-isu negara Islam yang lain seperti Palestin, Khasmir, Selatan Thailand, Kemboja, Iraq, Afganistan, tetapi biarlah lebih fokus. Namun jangan pula terlebih fokus, sehingga organisasi dakwah itu lebih terkenal dengan isu Palestinnya, sedangkan isu dalam negerinya tetap ada, tetapi kurang menonjol. Ini berlainan dengan fokus oleh badan seperti Aman Palestin yang memang khusus, juga badan dakwah yang ada lujnah isu globalnya. ( ** spt dalam artikel terdahulu, saya faham bahawa Palestin ialah paling utama dari isu umat Islam di negara lain)

14c) Isu Melayu Islam di Malaysia ini adalah antara isu pokok, namun harus dikenal pasti, apakah isu sebenarnya yang ingin diketengahkan kepada masyarakat, dan siapa kumpulan sasaran utamanya? Juga tahniah kepada badan dakwah yang sudah mengambil isu ini sebagai keutamaan!


15. Mengubah manusia lebih bijak dan pandai dalam pelajaran adalah lebih mudah, tetapi merubah cara hidup itu sesuatu yang sukar, tetapi umat terdahulu sudah membuktikan kejayaannya.


16. Melayu pada zaman Natrah, tiada jauh bezanya dengan Melayu sekarang dari sudut kefahaman dan penghayatan Islam. Dan berhati-hatilah dalam mengulas isu demi isu, kerana dakwah berlandaskan isu hanyalah sekadar nasi tambah dan bukanlah menu utamanya. Apa lagi menu utamanya wahai para duat?