Pages

Wednesday, March 24, 2010

Program Remaja selalunya Gagal?


( sebahagian dari cacatan dari buku bakal terbit, PsikoSeksual Remaja Wanita)\



Sesuatu yang tidak boleh dinafikan bahawa sebahagian program untuk membendung gejala sosial di kalangan remaja telah di politikkan dan lebih bermotifkan perniagaan untuk mengisi kocek pihak tertentu. Maka perlaksanaan program itu di buat ala kadar dan tangkap muat serta sekadar cantik di atas kertas kerja sahaja.



Wang peruntukan dari kementerian berkaitan atau dari majlis tempatan mengalir kepada perunding program, pembuat baju-T, topi, penyedia catering, pengiklan, penyedia khemah, tempat-tempat seminar dan sebagainya, sebaliknya kesan dari program itu amat mendukacitakan.


Apakah kempen kesedaran tentang AIDS, merokok, dadah dan vandalism boleh di katagorikan telah berjaya? Kajian terbaru telah menunjukkan kempen merokok, ‘Katakan Tak Nak’ telah gagal sama sekali- tahniah kepada pihak yang mahu mengaku kegagalan ini. Bukan sahaja bertambahnya perokok baru di kalangan remaja lelaki, remaja perempuan semakin kurang malu merokok di khalayak ramai.


Dan sudah di ketahui umum bahawa kejayaan memulihkan penagih dadah adalah sangat kecil di pusat-pusat Serenti yang bilangannya melebih bilangan Universiti! Sedangkan jutaan wang ringgit sudah dilaburkan dan dileburkan begitu sahaja.



Apabila masih ada unsur negatif ketika kempen-kempen ini dijalankan seperti pergaulan jantina yang tidak di kawal, tidak bersungguh, bersantai, mencari publisiti demi politik atau pertubuhan, tiada sistem pemantauan atau standard pencapaian ( KPI ) dan tidak jelas objektif, maka kemanakah wang itu mengalir dan keberkesanan kempen?



Program Rakan Muda sudah lama ‘bungkus’ dan kini Program Latihan Khidmat Negara, PLKN belum benar-benar teruji keberkesanannya, dan belum lagi dibuat kajian menyeluruh akan kejayaan agenda yang sudah menelan jutaan ringgit ini. Saya dimaklumkan etika pergaulan lelaki-perempuan tidak dipenuhi dan ada budaya hiburan seni yang tidak berkenaan juga didedahkan. Kajian mesti dibuat oleh pihak yang tidak berkepentingan dan bukan oleh pihak dalaman semata-mata. Namun begitu saya amat bersetuju dengan tempuh latihan selama tiga bulan itu, kerana menyertai kursus singkat untuk beberapa hari itu kesannya sekadar sehangat tahi ayam!


Apakah tidak terlepas dari unsur politik dan unsur perniagaan dalam PLKN ini? Begitu juga program Biro Tata Negara ,BTN yang kini hebat dipertikai oleh orang ramai dan pihak pembangkang yang mendesak agar perlu kepada pembaharuan secara total.


Jika modul dan ceramah dalam program-program diatas menekankan nilai-nilai Islam dan insani, tetapi sebaliknya berlaku pertentangan nilai dalam realiti kehidupan harian, iaitu apabila di media cetak dan media letrik, lain pula nilai yang di hidangkan kepada masyarakat. Malah media yang bermotifkan maklumat positif tetap memaparkan nilai negatif dan bercampur aduk!
Baik media letrik yang di kendalikan oleh pemerintah dan swasta, kecelaruan nilai yang di bawa sehingga berpadanankah dengan yang di tekankan dalam pelbagai kempen-kempen atau untuk mengaku Islam sebagai agama rasmi Negara ?


Pemimpin bercakap tentang gejala sosial dan gejala hidup berseronok, tetapi media-masa menghidangkan nilai carca merba dalam iklan, di dalam drama, persembahan hiburan nyanyian dan lawak jenaka. Drama atau filem tahyul dan berunsurkan syirik masih menjadi tayangan utama! Dan lebih ketara lagi oleh media masa yang di miliki oleh syarikat swasta!


Kadang-kadang apabila mendengar celoteh para DJ radio sudah membingitkan, belum lagi mendengar lagu-lagu yang disiarkan. Terasa sedih apabila ada para pendengar yang semakin tua juga masih taksub dengan irama 60an, irama pop, irama dangdud, irama terkini dan irama Hindustan.
Mujur ada radio IKIMfm menjadi pilihan oleh mereka sentiasa mahu menjaga telinga demi menjaga iman! Radio lain hanya menyiarkan siaran agama atau lagu nasyid ketika menjelang azan, di mana pada waktu lain rancangan hiburan melebihi lapan puluh peratus siarannya dengan alasan untuk memenuhi tuntutan majoriti pendengar yang mahu bersantai dan hiburan kosong sambil menerima maklumat.
Sepatutnya media ini mendidik pendengar bukannya mengikut selera mereka yang rosak itu dan minda yang berlebihan mencintai dunia.
Media television pula lebih dahsyat melalaikan anak-anak kecil, anak remaja, sehingga golongan dewasa. Hinggakan ada sesetengah iklannya juga ada berunsurkan sekual. Kajian demi kajian dan saranan telah dibuat tentang kesan dari television ini, malah seingat saya di zaman persekolahan lagi, ianya merupakan sebuah tajuk karangan. Rupanya sekadar batuk-batuk di tangga dan anjing semakin letih kerana menyalak bukit yang buat tidak reti sahaja.
Sukar untuk memahami apakah nilai yang ingin di bawa orang yang diberi amanah memimpin ini, dan mereka pula mengeluh dengan semakin rendahnya moral muda-mudi dan semakin hilang kudrat serta upaya ibubapa untuk mendidik anak-anak! Sedangkan nilai carca merba ini dihidangkan pada setiap hari kepada seluruh lapisan masyarakat melalui media-masa.
Bercakap dengan kepimpinan melalui teladan pula, ada parti politik (samada pemerintah dan pembangkang) yang mempunyai sayap untuk remaja wanita, tetapi mereka juga tidak menunjukkan adap berpakaian yang baik, ada yang langsung tidak menutup aurat, masih suka berpoya dan kaki libur. Tanpa segan silu bergaul dengan sesama sayap politik remaja lelakinya. Sikap buruk ini lebih terserlah ketika kempen pilihanraya, termasuk kata-kata nista dan sebagainya- rupanya pilihanraya juga menjadi pesta maksiat! Sedangkan mereka ini adalah bakal pelapis pemimpin.
Cakap tidak serupa bikin, itulah istilah yang paling tepat atau tak ubah seperti ketam menyuruh anaknya berjalan lurus! Ini di sebut dalam surah As Saf, ayat ke 2.
Dan ramai yang terlupa bahawa hajat yang baik itu tidak selari dengan keberkatan dari Allah SWT, agaknya apakah ada peneraju kempen-kempen yang baik ini yang sentiasa menadah tangan berdoa supaya di bukakan pintu keluar dari gejala buruk dan di beri hidayah kepada mereka untuk mengubah cara hidup?Sambungan pada ayat ke 3 dari surah AsSaff tadi , “ Amat kebencian ( kemurkaan) di sisi Allah terhadap kamu yang tidak berbuat seperti mana yang kamu katakan”. Apakah tanda kemurkaan Allah SWT dengan tidak ada keberkesanan dengan kempen-kempen yang diadakan? Sama-samalah kita renungkan