Pages

Tuesday, July 20, 2010

Dari Mana Salasilah Anda ?


Pelajari kisah manusia yang sudah berjaya merubah manusia lain untuk menunggang dunia ini demi akhirat, sejak zaman Nabi SAW sehinggalah kehari ini, iaitu siapa bapanya, siapa datuk moyangnya? Kita ambil nama-nama besar yang terdekat dengan kita seperti, seperti Dr Yusof AlQardawi, mujtahid tersohor Imam Hassan AlBanna, Syed Qutub, Al Maududi dan ramai lagi. Mereka ini lahir dari keluarga ahli agama. Begitu juga salisah yang baik di kalangan ulamak tersohor di Nusantara seperti Tok Kenali dan Pak Hamka. Bacalah sejarah orang mukmin yang hebat, anda akan dapati akan kehebatan salasilah keturunan mereka.

Siapa anda ialah siapakah bapa anda, kemudian siapakah ibu yang dipilih oleh bapa anda itu sebagai isterinya ?
Untuk melahirkan manusia yang hebat kejayaan dunianya, mereka boleh datang dari keturunan keluarga yang fasik , tetapi manusia yang hebat urusan agamanya 'mesti' lahir dari keturunan beragama juga, dan masih di nanti-nantikan dalam masyarakat kita pada hari ini para ahli agama yang bertaraf mujtahid.

Ada ahli agama dan mereka bukan di kalangan ustaz dan ustazah yang begitu komited dengan perjuangan dakwah di Malaysia ini, tetapi apabila melihat anak-anak mereka, boleh di umpamakan jauh panggang dari api untuk menjadi ulamak atau pendakwah yang akan menjadi rujukan umat, malah ada di kalangan mereka yang telah memanggang nilai agamanya. Nilai agama mereka menjadi rosak dan menimbulkan fitnah pula.

Sebaliknya lebih ‘menyesakkan’ hati apabila melihat telatah anak-anak dari keluarga orang kebanyakkan yang fahaman dan amalan agamanya cuma sekadar menunaikan solat, puasa dan haji sahaja! Anda mungkin salah seorang dari anak dari keluarga ini!

Kami tidak nampak mereka yang mampu merubah manusia ini di kalangan mereka yang ketika kecilnya sudah terdedah dengan hiburan, biasa dengan keseronokan, yang jauh dari AlQur’an, solatnya sekadar sah, dan kemudiannya baru mendapat kefahaman Islam! Namun mereka tetap boleh menjadi orang dewasa yang baik dan berakhlak, dan boleh melahirkan zuriat yang akan membantu Islam. Inilah golongan yang paling ramai di dalam organisasi dakwah masa kini, iaitu yang mendapat kesedaran Islam selepas atau semasa sekolah menengah.

Maka kita masih menunggu-nunggu sekumpulan ulamak yang begitu tinggi komitment di Malaysia ini terutama di kalangan anak-anak pendakwah sendiri. Dan kemunculan gelombang generasi baru yang akan mewarnai kebangkitan Islam di mana ketika itu kemungkaran juga semakin bangkit dan subur. Persoalannya bila? Mungkin 20-30 tahun dari sekarang atau lebih lama lagi!

Bagaimana pula keturunan anda?

Keturunan tidak boleh berubah? Walaupun anda dari keturunan bukan ahli agama, atau ibubapa anda bukan orang yang minat dengan agama, yang ‘berkiblatkan’ hiburan, tidak menutup aurat, atau ibubapa anda adalah orang yang fasik, tetapi bukan bermakna anda akan mewarisi sikap mereka walaupun anda sangat berpotensi mengikut jejak langkah mereka.

Di antara contoh berkiblatkan hiburan ialah merasakan tanpa hiburan dunia ini sepi. Jika orang bukan Islam ada tok pekong rumah untuk mereka sembah, orang Islam juga ada ‘tok pekong’ di ruang tamu iaitu televisyen. Walaupun ‘tok pekong’ ini bukan tempat sembahan, tetapi mereka menatapnya hampir setiap hari tanpa jemu. Balik sahaja ke rumah, selepas buka pintu, mereka akan terus buka televisyen!

Walaupun ketika usia kecil dan ketika remaja anda sudah terdedah dengan berbagai gejala negatif, dan kini mendapat hidayah untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya anda masih boleh berubah menjadi lebih berakhlak dan membantu agama Allah ini, walaupun sukar menjadi manusia hebat dalam beragama.

Sebaliknya anda dari keturunan orang beragama atau ibubapa yang cenderung kepada agama, tetapi jika hasil didikan yang tidak betul atau didikan secara sambil lewa, anda mungkin akan terpesung. Segelintir dari ibubapa yang beragama tetapi leka dan lalai dari membendung anak-anak mereka dari keseronokan dan akibatnya anak mereka tiada beza dengan remaja lain yang bermasalah.

Dan bersyukurlah anda dari keturunan yang cintakan agama dan mendidik anda dalam linkungan soleh dan mementingkan akhlak Islam, anda sepatutnya LEBIH SOLEH dari ibubapa anda!

Namun begitu, walaupun anda lahir bukan dari salisah yang soleh, atau anda dari keluarga soleh tetapi anda di didik tidak secara soleh, namun sedarlah bahawa anda sebagai bapa kepada keturunan baru. Sekiranya anda terus mendidik anak sepertimana di didik dahulu, maka keturunan anda akan terus menjadi perosak.

Siapa bakal ibu atau bapa kepada anak-anak anda adalah FAKTOR utama menentukan masyarakat pada masa hadapan! Sebelum mencari wanita soleh untuk dijadikan isteri, atau lelaki soleh sebagai suami, anda MESTI soleh dahulu. Buku ini akan membantu anda mengenali wanita soleh dan membantu anda menjadi lelaki/wanita yang soleh.
( petikan dari buku: PsikoSeksual Remaja Wanita, dengan sedikit ubahsuai)