Pages

Tuesday, August 17, 2010

Smart work tetapi tidak work hard Berpuasa

Apabila muslim dan muslimat berpusu-pusu ke masjid./surau untuk solat bertarawih, inilah gambaran hidayah dan barakah yang Allah janjikan dengan ketibaan Ramadhan.


Allah telah membuka hati-hati mereka yang selama ini jarang untuk berjemaah dan mereka yang menjejaki masjid pada hari Jumaat sahaja. Begitu juga dibuka hati untuk mendengar tazkirah Ramadhan yang diadakan oleh beberapa masjid / surau walaupun terpaksa dengar, di mana sebahagian dari mereka ini jarang sangat untuk mengikuti kuliah mingguan.



Selain dari mencurahnya rahmat dari Allah SWT, juga mungkin kerana faktor sudah terbiasa sejak kecil untuk turut serta dengan orang lain bertarawih, dan sudah menjadi satu fenomena biasa setiap kali datangnya Ramadhan, atau mungkin segan dengan jiran di sebelah. Sebenarnya orang yang langsung tidak terbuka hati untuk bertarawih juga masih ramai, di mana mereka mengabiskan masa di hadapan televisyen atau leka berbual selepas berbuka bersama rakan taulan.


Sepintas lalu, kelihatan orang yang berpusu-pusu beribadah ini telah melakukan ibadah secara smart iaitu dengan memilih Ramadhan sebagai bulan melipat gandakan pahala ibadah. (itu pun sekiranya solat itu sempurna dan hatinya ingatkan Allah)


Tetapi terlalu RAMAI yang tidak mengambil kesempatan secara smart untuk menambah pahala dengan melakukan ibadah yang lain seperti memperbanyakkan bacaan al Quran, bersedekah dan solat sunat sebelum bersahur.


Dengan kata lain, mungkin hidayah Allah itu turun tidak sepenuhnya ke dalam sanubari mereka yang sekadar berjemaah tarawih. Walaupun hidayah meluah di sepanjang bulan ini, namun hidayah ini mesti dicari dan diusahakan walaupun secara rela-paksa. Jika kita boleh kerja keras untuk mendapat rezeki di dunia, mengapa tidak berkerja keras untuk melimpah ruah ‘rezeki’ di akhirat.


Malah lebih tidak smart berpuasa apabila puasanya berakhir dengan makanan berbuka yang membazir dan berlebihan. Ada orang lebih awal matanya berbuka puasa dengan melihat sesuatu yang menaikkan syawat, mulut berbuka awal apabila mengeluarkan kata nista atau telinga juga lebih awal berbuka puasa apabila sengaja mendengar adu domba dan sebagainya.


Juga tidak smart apabila merasakan terlalu awal merasakan suasana hari raya puasa, sehingga masjid mula lenggang dan pusat beli belah pula semakin ramai jemaahnya, ditambah alunan lagu merdu raya yang mendayu-dayu

Bertambah tidak smart apabila sebaik habis bulan Ramadhan, hati terus dikotorkan pada 1 syawal lagi dengan pelbagai hiburan terutamanya di TV dan perut yang kekenyangan. Dan seterusnya tidak lagi solat Isyak berjemaah pada hari-hari berikutnya sepertimana mampu dilakukan sepanjang Ramadhan dan tidak pula berusaha melakukan puasa sunat. Rupanya hidayah itu sekadar tempelan dan hilang sebaik sahaja hilangnya Ramadhan.