Pages

Thursday, May 15, 2014

Bakar Kelambu Bocor

Malaysia sudah ditakdirkan dihuni oleh pelbagai bangsa dan agama. Bangsa china dan India  yang kini menjadi warganegara yang memiliki kad pengenalan adalah generasi yang ke 4 atau lebih lama lagi. Orang China menguasai ekonomi, bangunan perniagaan dan bangunan pencakar langit, manakala orang Melayu masih memiliki  tanah yang lebih banyak termasuk tanah simpanan Melayu dan Tanah adat yang sebahagiannya terbiar.

Sesama Melayu saling berbalah, berkelahi, bermusuhan, caci mencaci, maka tidak hairan ianya boleh berlaku dengan bangsa yang berlainan.

Terkini parti politik MCA, DAP dan Gerakan menyatakan secara terbuka menentang hudud dengan alasan hukuman yang tidak sesuai lagi pada masa ini  dan melihat Malaysia akan memulakan langkah menjadi Negara Islam.

Terdapat kenyataan lantang yang akhirnya pihak polis membuat siasatan apabila perkataan pendatang dan penceroboh digunakan kepada orang China yang berada di Malaysia.

Dalam kehangatan cuaca politik dan isu hudud, perkataan provokasi ini lebih menghangatkan keadaan. Perkataan yang keluar selepas 57 tahun Malaysia merdeka!

Secara psikologi,perkataan yang tidak berhemah dan tidak berhat-hati biasanya keluar dari minda yang gopoh dan tidak dapat mengawal kebencian. Ini fakta yang boleh diterima oleh sesiapa sahaja.

Sekiranya 'benar'  maklumat sehingga mendatangkan rasa marah, persoalannya bolehkan dikeluarkan kenyataan yang tersasar itu tanpa berfikir panjang? Kenyataan ini mungkin keluar setelah beralasan orang China semakin 'naik kepala', namun apakah provokasi seperti ini adalah jalan penyelesaiannya?

Alasan orang Melayu terlalu berlembut dan pemaaf sejak lebih 50 tahun dahulu terhadap bangsa lain adalah tidak tepat, kerana ianya melibatkan politik , perundangan yang dibuat oleh pemimpin terdahulu dan sedia ada.  Berapa banyak kegagalan untuk memajukan ekonomi orang Melayu dan berapa banyak tanah Melayu dibenarkan dijual kepada bukan Melayu tanpa prosidur yang betul?

Sepatutnya kegagalan ini yang harus dibincang. Dilema Melayu yang kronik ini sebenarnya dimulakan oleh orang Melayu sendiri. Melayu sendiri yang membocorkan kelambu, maka mudah dimasuki nyamuk.

Apa selepas ini setelah mengeluarkan kata-kata provokasi ini? Apakah orang China akan mengalah atau mengaku mereka memang membuli orang Melayu?

Selesaikah masalah kebencian? Atau mencurah  minyak kedalam api? Perkataan yang keluar dari mulut kita memberi gambaran cara fikir kita. Ilham untuk bercakap dan mendapat idea yang baik sangat berkait rapat dengan amalan masing-masing.  Orang yang bibirnya basah berzikir, banyak solat sunatnya, banyak puasa sunatnya serta bermunajat dinihari, InsyaAllah ilhamnya berbeza.