Pages

Thursday, November 22, 2007

"Tiada Penumpang Dalam Pasukan Ini! "

Lapuran dari akhbar Harian Metro, 21 nov, Rabu, ”Jurulatih bolasepak Negara ke sukan ASEAN di Korat, Thailand telah mengugurkan enam orang pemain yang tidak layak bersama pasukan itu”. Persoalannya, semudah itukah pemain bolasepak ini digugurkan? Tentunya sudah di buat penilaian, pentaksiran dan kaedah untuk mengukur kualiti permain tersebut. Dan juga bukan mengikut andaian atau perasaan. Pemain ini sudah berlatih sekian lama, perbelanjaan yang dikeluarkan dan kerahan tenaga yang sudah diguna selama tempuh latihan itu. Pemain bola ini terpilih kerana bakat, minat mendalam bahkan dengan suka dan rela serta sudah ’menghambakan’ diri untuk bolasepak. Bola sepak itulah ’dunianya’. Mereka adalah pemain yang sudah terpilh dari ribuan yang sudah di uji bakat. Dia sudah pun melalui ’ penderaan’ fizikal dan mental agar terpilih menjadi pemain bola sepak sesuatu pasukan. Seperti daie juga yang ’terpilih’ dari ribuan diluar sana dan juga satu persoalan, adakah dakwah ini dunia anda?

Umum memahami bahawa pencapaian dan tahap manusia dalam berbeza-beza dalam sesuatu bidang. Ada pemain yang mahir menjaringkan gol, ada yang cekap tangkap bola supaya tidak masuk jaring. Malah pemain itu sendiri boleh menentukan dirinya sebagai pemain utama atau sekadar regular pemain simpanan atau pemain utama tetapi pada hari pertandingan, tahapnya ketika itu hanyalah sebagai pemain simpanan!!

Begitu juga tahap atau mustawa seorang daie dimana proses pengukuran, penilaian, diagnosa iaitu mengenal pasti potensi / masalah, pemulihan dan pemantauan mesti sentiasa berjalan dalam dunia dakwah ini. Jika pemain yang tidak mencapai standard yang ditetapkan, dia akan digugurkan terus dari pasukan dan pastinya keputusan yang dibuat oleh pihak pengurusan bukan suatu keputusan yang mudah. Dinyatakan sebelum ini, setelah berlaku pentaksiran yang tepat, seimbang, adil, dengan skima-skima tertentu, bukan keputusan oleh individu walaupun pandangan jurulatih diutamakan, dan tidak terburu-buru.

Untuk mentaksiran dan menilaian ini memerlukan kemahiran tertentu. Disinilah bermulanya kepentingan dan mentaati rukun serta displin. Pemain yang gagal terpilih tadi bukan kerana kurang berbakat tetapi lebih di sebabkan masalah sikap dan masalah displin.

Anda mungkin beranggapan untuk menjadi jurulatih, mestilah juga seorang pemain bola atau ahli sukan yang hebat dan ternama suatu masa dahulu! Sudah terbukti dan anggapan itu salah kerana orang yang mampu menganalisa , mengurus dan pastinya juga berbakat adalah ciri jurulatih yang berjaya. Ramai jurulatih bertaraf dunia dalam sukan bolasepak dan golf, namanya tidak dikenali ketika dia menjadi pemain.

Oleh kerana masalah displin menjaga amalan rohi, maka ada tentera yang berpengalaman di bawah pimpinan Sallehuddin Al Ayubi diarahkan pulang dari menyertai medan perang.

Saya yakin, ramai daie yang sudah pun mahir dengan rukun usrah, rukun akujanji, rukun pemantapan diri dan rukun tarbiyah. Sebagai contoh, rukun tarbiyah yang empat , iaitu 1. Pendidik / Jurulatih ( Murabbi), 2. Kaedah ( manhaj), 3.Pemain / yang dilatih ( mutarabbi) dan 4. Suasana / persekitaran. Mengapa murabbi (jurulatih) diletakkan pada rukun yang pertama? Dan fikirkan jika kelayakannya menjadi murabbi kerana bakat dan kesungguhan dalam dunia dakwah tetapi jika dia kurang terserlah untuk mengurus, gagal untuk pembahagian tugasan, sukar untuk menganalisa mutarabbinya dan analisa pasukan serta menganalisa pihak lawan, maka tidak hairan pasukannya mudah tewas atau sukar untuk menang!!

Tiga tugasan utama murabbi ialah membentuk individu, menukarkan kalam kepada amal dan membina usrah yang produktif. Ini samalah dengan jurulatih bola tadi yang membentuk pemainnya, menukarkan teori dan tektikal secara praktikal di tengah padang dan membentuk pasukan yang mantap dan berjaya. Jurulatih yang berjaya, dia sangat mengenali posisi yang sesesuai untuk permainnya dan mengilap bakat mereka.

Anda yang terlibat dalam bidang pembangunan sumber manusia ( HRD) atau menjaga kualiti sesuatu produk perkilangan tentu lebih mahir untuk membuat perbandingan produk seorang manusia atau satu barangan dengan produk seorang daie.

Allah SWT sangat tegas dan terperinci dalam menghukum jika berlaku perlanggaran hukum termasuklah hukum hudud, hukum nikah-cerai, hukum jual beli termasuk displin mengutamakan jiran berbanding keluarga sendiri yang jauh lokasinya. Rasulullah SAW sendiri sangat teliti, tegas sehingga Baginda mengajar displin hidup dari bangun tidur sehinggalah tidur semula.

Juga sudah terbukti dengan HANYA menjadi displin, menghukum dan membentuk sikap tetapi melupakan konsep ketuhanan, manusia boleh dilentur dan dibentuk. Seperti kata seorang rakan di kariah masjid saya, ” Jika terjumpa sekeping roti di bawah flat di Singapura, kita boleh kutip dan makan roti itu”. Satu mesej tentang displin menjaga kebersihan dan hukuman yang akan diterima jika gagal menjaga kebersihan. Begitu juga mereka ada mekanisma peraturan jalanraya dan tidak berkompromi mengeluarkan saman untuk kesalahan kecil dan kali pertama.

Dalam satu jawapan Timbalan Menteri Pengangkutan yang ditanya tentang KLIA yang dibina tanpa memikirkan untuk mesra kepada orang kurang upaya. Beliau menjawab, ” Kita akan berbincang dengan pihak MAS dan AirAsia dan terima kasih atas soalan dan cadangan itu! Sedangkan pengangkutan awam seperti bas, teksi dan MRT/LRT di Negara orang yang lupa Tuhan itu, sistemnya sangat mesra untuk kurang upaya apalagi untuk orang biasa. Mengapa berbeza cara berfikir, sikap dan keperihatinan memenuhi kehendak manusia ?

Sebenarnya kita sudah dilatih berdisplin seawal subuh lagi dan dalam empat waktu berikutnya pada setiap hari tanpa kompromi sehinggalah akhir hayat. Pada setiap waktu solat kita dimotivasi menjaga waktu, disuruh sentiasa berfikir, berimaginasi , diajak sentiasa mendengar, disuruh mengubah sikap melakukan yang terbaik, diminta bertertib, dilatih menggunakan kedua-dua otak dan memperbaharui akujanji dengan Allah SWT. Menurut beberapa pakar motivasi, motivasi diri tidak akan datang bergolek, ianya mesti berlaku pada setiap tahun, pada setiap bulan dan pada setiap hari. Dan mahfum sabda Nabbi SAW iaitu akan tergolong dari orang yang rugi bila hari ini dengan semalam tiada perubahan, atau sama sahaja dan lebih rugi lagi jika hari ini lebih buruk dari hari sebelumnya.

Sedangkan dalam setiap waktu solat kita diminta meningkat motivasi supaya meningkatkan ’kualiti ingatkan Allah’ / khusyuk, dalil dari firman Allah SWT, ” Dan dirikan solat itu untuk mengingat-Ku”. Thoha :4. Jika subuh tadi kurang kualitinya dan kita sedar akan kekurangan itu, maka berazam pula meningkatnya pada waktu zuhur nanti dan seterusnya sehingga subuh berikutnya. DAN YANG LEBIH BERMOTIVASI IALAH PADA SETIAP RAKAAT, dimana kita sentiasa berusaha untuk meningkatkan mutu solat. Bermotivasi untuk terus meningkatkan komunikasi dengan Allah pada rakaat kedua, ketiga, keempat dan kekal sehinggalah memberi salam.

Bukankah orang yang sentiasa mementingkan kualiti itu adalah asas kejayaan?. Dan yang paling asas ialah motivasi menjaga hubungan dengan Allah SWT!!. Dan bukankah dengan memelihara kualiti Solat itu, adalah magnet yang akan menarik agar berkualiti berdoa, kualiti berzikir, kualiti berpuasa, kualiti bertilawah, kualiti bersedekah malah kualiti berusrah ? Dan bukankah berusrah itu satu ibadah? Usrah yang dinamik bila ibadahnya dinamik. Dengan kerahmatan-Nya. akan berkualitilah hati.

Hati adalah kunci amal. Kunci kepada amal dakwah, kunci yang menukar kalam kepada praktikal. Hati yang sensitif dan gementar bila disebut nama Allah. Hati yang berenergi ini akan menolak setiap anggota badan berkerja untuk Islam dan mudah mematuhi rukun-rukun dan displin tadi. Kemudian barulah layak untuk hati itu berbisik , ”dakwah itu adalah kerjayaku”.

Inilah intipati maksud Ibadah Yang Dinamik yang mampu MERUBAH dari hujung rambut ke hujung kaki manusia yang bernama muslim. Jika dengan hanya kaedah rangsangan minda, mengenali personaliti, kenal potensi diri dan mengilap sikap sahaja boleh menjadikan manusia yang hebat, maka sepatut dan semestinya dengan gabungan ibadah yang hidup dan ilmu kemanusiaan ini, syariat Islam akan tertegak di mana-mana sahaja dan kembalinya daulah Islam.

Tetapi apa yang berlaku, dan marilah menilai kualiti Ibadah dan kualiti ubudiyah umat Islam dimana sahaja pelusuk dunia ini dan menilai diri kita sendiri serta anda sebagai daie. Jika seorang daie ibadahnya bermutu rendah, wajibat asasnya tidak mantap, rohnya tidak hidup, maka rukun dua puluh itu akan terlekat di minda sahaja, ikhlasnya bersyarat, terkeliru amalnya, pengorbannya bercatu, berkata jihad sedangkan tiada persediaan jiwa dan fizikal, kepimpinannya sukar ditaati dan diragui, ukhwahnya longgar dan tidak teguh ( thabat) dengan perjuangan serta semangatnya berubah-ubah.

Jadilah permain utama yang berkualiti dan bukan sekadar pemain simpanan atau terpaksa menjadi pemain simpanan dan bukan pemain yang terus gagal menyertai pasukan. Dan jadilah jurulatih dengan kelas tersendiri yang profesional. Kita bermain untuk menang, walaupun kekuatan pasukan lawan sangat kuat, kita bukan suka-suka pakai jersi ini dan bermain ikut suka hati. Dan bukan juga jaguh kampung!

Penuntut melihat permainan kita, adakah mereka bersorak menyokong atau mencemuh? Mereka mencemuh kerana permainan kita yang kucar kasir.Bermain tanpa strategi walaupun ada pemain kita yang handal.Atau strategi itu hanya cantik di atas kertas sahaja. Atau strategi itu sering bertukar-tukar sehingga pemain pun naik keliru. Atau sesama pemain mencemuh mereka dan mengakui dia lebih bagus bermain. Atau ada pemain yang tidak menjaga posisinya. Dan lebih malang, pemain kita berlegar-legar bermain digelanggang sendiri.

Berkemungkinan juga tiada yang sudi menonton permainan pasukan kita.!! Sedangkan seperti yang dijanjikan, ada pihak luar yang ingin sangat melihat dan menilai permainan kita tetapi bersediakah untuk mempamerkan permainan ? Mereka mungkin ingin memberikan bantuan atau mereka ingin meminjamkan permain atau memberi komentar tetapi mengapa kita banyak memberi alasan dengan berkata tempo permainan mereka tidak sama!!

Sebilangan pemain yang biasa berkata dengan bangganya bersamalah dalam pasukan ini dan selamat berjuang tetapi sebelum itu mari kita ajukan soalan ini, inikah kualiti pemain, kualiti jurulatihnya dan kualiti pengurusan pasukan ini? Permain, jurulatih dan pengurus tentu ada jawapan sendiri, sedangkan penonton dan penilai yang akan menonton permainan ini!!

Meletakkan bola kedalam jaring sebagai tanda kemenangan, walaupun kita sentiasa diasak oleh pihak lawan dan terpaksa bertahan bukan bermakna akan kalah. Dan meletakkan Islam di bumi ini adalah kemenangan yang diimpikan walaupun kita sentiasa diasak dari pelbagai sudut.