Pages

Wednesday, December 19, 2007

Kreatif Untuk Berkorban

Semalam { selasa }, jemaah haji melakukan kemuncak ibadah haji dengan berwukuf di Arafah. Himpunan manusia muslim dari seluruh pelusuk dunia yang cuma memakai pakaian putih, yang lusuh dan tidak berjahit bagi jemaah lelaki. Tiada beza bagi yang kuat fizikal, yang muda, yang berkuasa , yang kaya, semuanya sama walaupun dibezakan kualiti khemah-khemah yang berpangkat dengan yang tidak berpangkat.

Terlebih dahulu, di ucapkan Selamat menyambut hari raya aidil adha. Bukan juga bermaksud, mereka yang mengeluarkan sedikit wang untuk menumbangkan lembu / kambing untuk melakukan kurban itu, hari rayanya lebih bermakna!! Tetapi asas kepada kurban ialah melaukan sesuatu yang diluar dari kebiasaan. Jika sekadar mengeluarkan sekitar RM 250-300 untuk korban ianya sebagai satu ibadah tetapi kurban dalam julat kemampuan individu itu sesuatu yang masih biasa. Dan lebih malang lagi berlaku ketidak sempurnaan agihan daging kurban itu.

Jika Nabi Ibrahim AS, menerima arahan yang tidak masuk akal oleh Allah SWT dan sesuatu yang luar biasa dan begitu juga anak tunggal baginda, Nabi Ismail AS yang masih remaja pula sanggup pula menyerahkan tengkuknya, malah melontar batu kearah syaitan yang cuba memujuk dan mencelarukan fikiran baginda AS.

Pengorbanan seorang bapa, seorang pemimpin, pembuka kaabah, seorang Rasul dan pengorbanan seorang anak mentaat perintah ayahnya tanpa banyak soal demi KECINTAAN YANG TINGGI terhadap Allah SWT. Mari kita renungkan bagaimana Nabi Ibrahim mentarbiah anak tunggalnya yang lahir ketika usia baginda sudah lanjut sehingga anak ini juga memiliki kecintaan yang sangat tinggi kepada Allah SWT. Tentu juga kita tidak lupa kualiti seorang isteri yang bernama Siti Hajar yang mentaati suaminya Nabi Ibrahim yang ditinggalkan dipadang pasir dan dengan hentakan kaki Nabi Ismail ( ada yang meriwayatkan di hentakan oleh malaikat), maka terpancarlah air zam-zam.

Mendalami pengorbanan dan pentarbiyahan oleh Nabi Ibrahim sekeluarga, yang mana pengorbanan mereka yang hebat itu, sehingga syariat Allah di muka bumi ini di teruskan oleh baginda Muhammad SAW.

Melakukan sesuatu dalam keadaan berlebihan seperti lebihan wang, lebihan masa, lebihan tenaga, lebihan idea juga belum dikatakan pengorbanan yang sebenar.

Pada minggu lepas, saya tersentuh dengan pengorbanan seorang mekanik kereta yang berusia lingkungan akhir 40an di Bandar Port Dickson yang bercerita yang beliau sejak lebih dari lima tahun pulang menjenguk Ibunya di K.Pilah pada setiap minggu.Saya sangat mengkagumi pengorbanan beliau walaupun dari mata kasar dan kata-katanya beliau muslim biasa.

Ada orang mencari peluang dan tidak menunggu untuk melakukan sesuatu yang diluar kemampuan orang atau dengan kata lain satu pengorbanan. Namun begitu, pengorbanan tidak akan bermakna tanpa niat yang disudahi dengan KERANA Allah SWT.

Niat harus dibezakan dengan lintasan minda. Yang dikatakan niat itu mestilah dengan kalimah lillahitaala. Usah niat untuk solat, puasa, memakai ihram, menyembelih diakhiri dengan lillahitaala tetapi bila mencari rezeki niat untuk beribadah sekadar lintasan dalam hati, itu pun kalau teringat!!