Pages

Monday, July 7, 2008

Mainan Hidup....

KENYATAAN MEDIA OLEH AMERICK SINGH SIDHU
4hb Julai 2008, Petaling Jaya, Malaysia

Saya telah diberitahu bahawa Encik Balasubramaniam a/l Perumal telah pada pukul 11 pagi tadi di persidangan media yang diadakan di Prince Hotel mengeluarkan suatu akuan bersumpah yang menarik kembali akuan bersumpah awal beliau yang diikrarkan pada 1 haribulan Julai 2008.
Alasan yang diberikan bagi penarikan kembali ini adalah kerana akuan bersumpah asal beliau yang dirakamkan sendiri oleh saya telah “dipaksa untuk diikrarkan di bawah tekanan”.
Tiada perincian rapi diberi berhubung dakwaan paksaan dan tekanan tersebut. Encik Bala dilaporkan hanya berdiam diri di persidangan akhbarnya pagi ini apabila ditanya mengenai siapakah yang menakut-nakutkan beliau.
Untuk rekod, saya ingin menyatakan bahawa akuan bersumpah yang diikrarkan oleh Encik Bala pada 1 haribulan Julai 2008 yang mana telah dikeluarkan semalam telah diikrarkan dengan rela hati di hadapan saya dan di dalam kehadiran seorang pesuruhjaya sumpah bernama Dr. T. Yokheswarem.
Saya juga ingin menekankan bahawa saya telah selama 26 tahun lamanya menjadi ahli Badan Peguam Malaysia dan tidak pernah sekalipun saya bersepakat dengan mana-mana anakguam saya dengan memaksa mereka memberikan maklumat palsu dalam apa keadaan sekalipun.
Kali pertama saya berjumpa dengan Encik Bala adalah dalam sekitaran dua bulan lalu di sebuah restoren di dalam kehadiran beberapa orang yang lain di mana beliau meminta saya untuk menolong beliau untuk mendokumenkan keterangan beliau. Saya memulakan proses tersebut dua minggu selepas itu. Saya menemui beliau beberapa kali dan akan mencatat apa yang beliau beritahu.
Saya tiada sebab untuk meragui setiap apa yang diberitahu oleh Encik Bala kepada saya selain yang benar dan tugas saya terhad kepada mendengar dan merakamkan apa yang beliau hendak katakan serta menyalin pernyataan beliau ke dalam suatu akuan bersumpah dalam bentuk yang teratur dan boleh difahami.
Akuan bersumpah tersebut kemudiannya telah diakusaksi oleh pesuruhjaya sumpah yang tersebut di atas iaitu Dr. T. Yokheswarem di dalam kehadiran saya dan juga Encik Bala sendiri. Kandungan pernyataan di dalam akuan bersumpah tersebut telah dibacakan di hadapan pesuruhjaya sumpah tersebut yang bertanyakan kepada Encik Bala samada beliau faham kandungan akuan bersumpah tersebut dan adakah kandungan itu adalah akuannya.
Setelah Encik Bala mengesahkan pertanyaan tersebut, beliau telah diminta untuk menandatangani tiga salinan akuan bersumpah tersebut dan seterusnya diakusaksi setiap satu oleh pesuruhjaya sumpah tersebut. Encik Bala kemudiannya diminta menyerahkan kad pengenalan beliau kepada pesuruhjaya tersebut dan seterusnya menurunkan tandatangannya di buku rekod pesuruhjaya sumpah tersebut.
Dalam keadaan tersebut, saya sesungguhnya amat terkejut bahawa dalam jangka waktu 24 jam Encik Bala telah mengguna khidmat seorang peguam lain dan mengikrarkan satu lagi akuan bersumpah yang mengesahkan bahawa akuan bersumpah asal adalah tidak benar dan beliau telah dipaksa untuk menandatanganinya.
Oleh kerana saya arif dengan keperibadian Encik Bala setelah menghabiskan masa berjam-jam mencatat pernyataan beliau, saya amat meragui bahawa beliau telah menandatangani akuan bersumpah yang kedua di atas kerelaan dirinya sendiri dan saya yakin, disebabkan tiada lagi alasan lain yang munasabah, beliau sebaliknya telah ditakutkan samada melalui ugutan atau janji-janji untuk berbuat demikian.
Pesuruhjaya sumpah yang mengakusaksi akuan bersumpah yang asal bersedia untuk mengesahkan apa yang dinyatakan oleh saya di atas berhubung kerelaan Encik Bala terhadap akuan bersumpahnya.
Kenyataannya, sebaik bertemu muka, Encik Bala dengan segera mengenali pesuruhjaya sumpah tersebut oleh kerana mereka berdua membesar di kejiranan yang sama di Slim River, yang mana tidak pernah diketahui oleh saya.

Americk Singh Sidhu

dari http://anwaribrahimblog.com/2008/07/05/kenyataan-media-oleh-americk-sidhu-dan-sivarasa-rasiah/#more-1979