Pages

Thursday, February 23, 2012

Dua orang ABU yang juga seronok, tetapi....




Menjangkau hampir 7 minggu saya tidak mencatat sesuatu didalam blog ini, mungkin kerana agak sibuk menyiapkan buku saya iaitu MUDAH FAHAM BAHASA ALQUR'AN melalui PETA MINDA DAN OTAK KANAN dan buku SERONOK BELAJAR NAHU-SOROF melalui peta minda. Bila menulis dalam dua tulisan rumi dan Arab, ianya memang satu cabaran, kerana lebih mudah menulis kombinasi jawi dan Arab. Masalahnya ialah terpaksa berselang menukar font rumi dan Arab.



Bulan kelahiran Nabi SAW, sudah sekian lama disambut, malah kita mesti ingat bahawa Abu Lahap dan Abu Jahal berpesta kenduri dengan menyembelih 100 ekor unta dan membebaskan hamba-hamba mereka kerana seronok dengan kelahiran anak saudara mereka yang yatim, iaitu Muhammad SAW. Malah mereka sentiasa berbangga dan memuji-muji peribadi Nabi sejak usia kecil, dan mereka berasa kecil hati dan cemburu kepada adik mereka yang bernama Abu Talib sebagai penjaga selepas kewafatan ibu Muhammad, iaitu Aminah. Muhammad sendiri yang memilih untuk bersama Abu Talib yang merupakan salah seorang dari 9 anak lelaki Abdul Mutalib yang masih hidup ketika itu, walaupun Abu Talib merupakan anak yang paling miskin dan paling ramai anak.



Muhammad terus menjadi kebanggaan oleh semua bapa saudaranya, termasuk Abu Lahab dan Abu Jahal tadi, dan membantu Abu Talib dalam urusan kehidupan seperti memberi modal perniagaan kepada Abu Talib, dan Muhammad pernah mengikuti Abu Talib berniaga di Syam.


Segalanya berubah apabila keRasullan Muhammad SAW pada usia 40 tahun, kedua-dua bapa saudara tadi menjadi musuh dan penentang kuat kepada dakwah Muhammad SAW.




Analoginya, sebahagian dari kita sentiasa dan meraikan maulidurasul dan mendakwa cinta Nabi SAW, tetapi dalam masa yang sama menjadi musuh dan penentang Nabi SAW. Menentang Nabi dalam erti kata memperlekehkan sunah baginda, memperlekehkan sahabat baginda dan ada yang terang-terangan anti_hadis.


Kita sekadar mendengar saranan dan arahan Nabi SAW, tetapi tetap mendedahkan aurat, beraurat tetapi tidak sempurna, bertudung tetapi seksi, mendirikan solat tetapi tidak seperti Nabi mendirikan solat yang sentiasa berjemaah dan memelihara solatnya. Nabi SAW menyuruh menjaga ukhwah, sebaliknya kita mudah bermusuhan sesama Islam. Rasuah menjadi kebiasaan, malah dianggap sebagai hadiah kerana mendakwa gaji yang tidak berpatutan.


Nabi menyuruh kita taat pada pemimpin yang adil terutama dalam menjaga aqidah, adil menjaga ibadah dan adil menjaga akhlak orang yang dipimpinnya, sebaliknya pemimpin yang rendah akhlak, tidak suka beribadah dirumah Allah , yang tidak kerap membaca Al Qur'an dan keaipan yang lain sebagai pemimpin dan disanjung. Memilih pemimpin seperti ini, bermakna kita istihar memusuhi Nabi SAW.



Nabi juga menyuruh mengikuti para ulamak yang benar dan beramal dengan ilmunya, sebaliknya kita menyanjung ulamak yang leka dengan habuan dunia dan ulamak yang menyokong pemimpin seperti diatas.


Sebut sahaja, apa jua bidang kehidupan, sebahagian dari kita beramal seperti bermusuh dan berlawan arus sepertimana yang Nabi SAW tunjukkan.