Biduk terkini yang sahaja lalu ialah kenaikan harga minyak, manakala biduk besar sebelumnya ini ialah PRU 13. Biduk ini telah menguakkan malah merosakkan banyak kiambang, namun kiambang yang bernama bangsa Melayu ini, banyak yang tidak bertaut kembali. Masih ada diantara mereka tidak bertaut di surau atau di masjid.
Biduk yang bernama pemerentah sentiasa sahaja nampak kesalahan biduk si pembangkang, begitulah sebaliknya, pembangkang sukar untuk melihat kebaikan yang ada pada pemerentah. Yang keruh tetap diambil, yang jernih dibiarkan. Apabila pendayung biduk ini bersikap begini, maka tidak hairan penumpangnya juga mengikut rentak si pendayung. Apakah sentiasa salah pandangan dari pembangkang atau sentiasa tidak betul apa yang dibuat oleh si pemerentah? Pemerentah rasa tercabar apabila ditegur dan didesak, manakala pembangkang menegur sekadar 'hangat-hangat tahi ayam', sedangkan isu yang ditegur datang bertimpa-timpa, tetapi banyak separuh jalan sahaja.
Semasa biduk PRU 13, terdapat biduk yang tidak kurang besarnya iaitu perbezaan fahaman dan pendekatan politik yang diambil oleh NGO-NGO Islam. Namun begitu, masih tiada lagi tanda-tanda kiambang dikalangan mereka ini akan bertaut. Mereka ini melaungkan bersilaturrahim dan menguatkan ikatan ummah, tetapi mereka tetap ditempat lama, serta tiada usaha yang kuat untuk mereka bertaut. Mereka terikut-ikut dengan rentak orang politik yang berlainan parti, sedangkan agenda mereka adalah ummah yang satu, yang tidak kira bangsa atau keturunannya. Walaupun bunga kiambang ini berbeza, tetapi bentuk daunnya masih sama. Kiambang tetap kiambang, Melayu tetap Melayu, yang berbeza ialah fahaman.
Terkini juga sedang lalu " biduk lama" yang dikenali sebagai syiah. Tiba-tiba sahaja biduk ini cuba dihalang, sedangkan sudah lama mereka diberi laluan terutama di IPT. Namun yang agak positifnya kiambang kuat bertaut dan tidak memberi laluan mudah untuk biduk ini lalu.
Dalam kesibukan menghalang penularan syiah, mereka yang mendakwa sebagai ahli sunnah, tetapi sebaliknya mereka beramal seperti bukan ahli sunnah ketika mereka berpakaian, kepala bertudung, tetapi masih menarik perhatian dan 'mengiurkan' lelaki, tidak Nampak mengikut sunnah ketika mereka mengadakan kenduri kahwin dan ramai yang tersasar dari mengikuti sunnah dalam amalan khusus. Sepertimana, sunnah yang paling dituntut ialah solat secara berjemaah, sedangkan majoriti dari mereka lebih ramai solat lima waktu secara sendirian.
Begitu juga biduk yang masih ingin melanggar kiambang iaitu isu kalimah Allah oleh orang kafir! Walaupun nampak seperti kiambang ini kuat bertaut, namun ada yang bermotifkan politik dan bangsa Melayu, dan bukan kerana mahu meletakkan Allah pada tempatnya yang sebenar.