Pages

Wednesday, November 28, 2007

Apabila berpolitik tanpa prinsip

Apabila berpolitik tanpa prinsip

( sebahagian dari artikel yang ditulis ole: DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN di akhbar Mingguan Malaysia, pada 25 nov 07)

.........dan sekilas pandangan dari saya

Seorang Muslim yang berdakwah hendaklah menyerukan kepada Islam sebagai al-Din, bukan sebagai parti, jemaah atau daulah. Seseorang mungkin tidak memiliki jamaah, kumpulan atau daulah tetapi mesti memiliki akidah dan ibadah kepada Allah dalam wajah zahir dan batin pengabdian diri tanpa pencemaran atau tokok tambah yang bukan-bukan. Pendakwah Muslim gembira melihat seseorang berpegang dengan Islam, sekalipun tidak menyertai organisasinya atau menyumbang kepadanya. Dia menyeru rakyat dan pemerintah agar menerima akidah terhadap al-Quran dan al-Sunah sebagai prinsip diikuti pelaksanaan syariat dalam diri dan masyarakat. Pendakwah Muslim akan dukacita melihat seseorang meninggalkan prinsip-prinsip Islam sekalipun orang itu rakan organisasi atau mendakwa sealiran dengannya. Pendakwah Muslim tidak mempunyai kepentingan yang mengatasi prinsip dakwah. Gembira dan dukacitanya melihat orang menerima atau menolak dakwah adalah kerana tanggungjawab hidayah bukan kerana habuan siasah atau seumpamanya
Hal ini berbeza dengan orang politik kepartian. Dia suka jika musuhnya buat salah, supaya ada isu yang boleh diperkatakan dan menguntungkan politiknya. Dia tidak gembira jika musuhnya berbuat positif. Dia akan tafsirkan kebaikan dengan wajah kejahatan atau sekurang-kurangnya akan kata ‘ada udang di sebalik batu’. Jika hal yang sama dilakukannya atau puaknya, pentafsirannya berbeza. Niat musuh selalunya busuk, niatnya didakwa selalu jujur. Bagaimana dia berfikir, demikian dia menyangka orang lain juga. Semua parti politik yang goyah prinsipnya hampir semazhab dalam hal ini. Maka dalam politik, musuh sekelip mata boleh bertukar menjadi kawan dan kawan boleh bertukar menjadi musuh. Sekalipun kawan ataupun musuh tadi belum menukar prinsipnya. Maka yang anti-Islam boleh bergabung dengan yang kononnya hendakkan Islam. Apa yang penting, sesiapa yang menguntungkan cita-cita politik ‘kerusi’ maka dia dianggap kawan. Sesiapa yang dirasakan tidak menguntungkan hasrat politiknya, maka dia musuh. Orang dakwah yang berprinsip tidak demikian. Mereka bersatu atas prinsip, lalu maaf dan memaafi perbezaan. Mereka bercerai kerana prinsip. Sekalipun ada kepentingan luar yang sama.
Hal inilah yang membezakan antara pendakwah dan ahli politik ala jahiliah. Maka orang dakwah mungkin berpolitik demi dakwah tetapi tidak berdakwah untuk kepentingan politik. Bagi mereka politik boleh mendekatkan diri kepada Islam. Bukan menampal Islam untuk politik. Seperti tidak mungkin mendekatkan diri kepada Allah untuk bersolat. Namun, bersolat untuk mendekatkan diri kepada Allah. Hal ini mesti difahami. Saya tidak pandai dalam politik kepartian namun sering menumpang baca hal ‘orang parti’. Hal mereka kadang-kadang lucu dan pelik. Kadang-kadang menyebabkan kita marah. Dalam banyak keadaan, saya yang teramat-amat daif ini melihat kerenah mereka, rasa syukur kerana bukan ahli politik seperti itu dan menyebut seperti firman Allah, (al-A’raf ayat 43): “Segala puji bagi Allah yang telah memberi hidayah kepada kami. Tidak sekali-kali kami akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami.”
Politik Nabi s.a.w tidak bermula dengan konfrontasi terhadap individu pemerintah. Konfrontasinya hanya terhadap sistem yang dianuti. Jika demikian sikap baginda dengan pemerintah yang kafir, apatah lagi untuk pemerintah Muslim dalam iklim hari ini. Dunia Barat ingin kita porak-peranda.
Namun dalam Islam mengampu pemerintah adalah dilarang. Itu adalah kejahatan dan pengkhianatan terhadap negara dan rakyat. Demikian juga sentiasa kontra dengan pemerintah dalam semua perkara, bukanlah ajaran Islam. Lagipun sikap melampau dalam membenci atau suka amat dilarang agama. Orang politik suka orang lain taksub kepadanya dek masa depan kuasanya. Tidak begitu Rasulullah s.a.w. Baginda membantah orang yang melampau memujinya kerana dibimbangi syirik.

RINGKASAN

1.Seorang Muslim yang berdakwah hendaklah menyerukan kepada Islam sebagai al-Din, bukan sebagai parti, jemaah atau daulah. Seseorang mungkin tidak memiliki jamaah, kumpulan atau daulah tetapi mesti memiliki akidah dan ibadah kepada Allah dalam wajah zahir dan batin pengabdian diri tanpa pencemaran atau tokok tambah yang bukan-bukan.

2.Hal ini berbeza dengan orang politik kepartian. Dia suka jika musuhnya buat salah, supaya ada isu yang boleh diperkatakan dan menguntungkan politiknya. Dia tidak gembira jika musuhnya berbuat positif.

3. Semua parti politik yang goyah prinsipnya hampir semazhab dalam hal ini. Maka dalam politik, musuh sekelip mata boleh bertukar menjadi kawan dan kawan boleh bertukar menjadi musuh. Sekalipun kawan ataupun musuh tadi belum menukar prinsipnya. Maka yang anti-Islam boleh bergabung dengan yang kononnya hendakkan Islam. Apa yang penting, sesiapa yang menguntungkan cita-cita politik ‘kerusi’ maka dia dianggap kawan

4. Hal inilah yang membezakan antara pendakwah dan ahli politik ala jahiliah. Maka orang dakwah mungkin berpolitik demi dakwah tetapi tidak berdakwah untuk kepentingan politik. Bagi mereka politik boleh mendekatkan diri kepada Islam. Bukan menampal Islam untuk politik



5. Saya tidak pandai dalam politik kepartian namun sering menumpang baca hal ‘orang parti’. Hal mereka kadang-kadang lucu dan pelik. Kadang-kadang menyebabkan kita marah.

Ulasan perkara pertama

Kenyataan ini perlu kepada ulasan lanjut, namun yang jelas mengajak kepada Islam tentulah bukan untuk mengajak kepada memasuki parti, NGO, jamaah tertentu tetapi mengajak manusia mentaati Allah dan Rasul-Nya serta kejayaan memasuki syurga-Nya secara terancang dn tersusun dan ini tidak boleh dilakukan secara individu dan tanpa berjemaah. Saya sudah jelaskan pada artikel ’kewajaran dakwah touch n go' dan "sengaja melengahkan jalan dan natijah dakwah'.

Ulasan Perkara kedua dan ketiga

Dari mulut orang politik ’berjiwa’ Islam juga mengaku bahawa politik ini kotor, banyak langkah silatnya yang sumbang, dan lebih ketara menjelang pemilihan pemimpin mereka dan khasnya menjelang pilihanraya.

Menjadi pemimpin politik bermakna mahu menjadi pemimpin kepada masyarakat dan bukan memimpin sebuah pejabat atau persatuan. Saya agak terkilan bila ada kaum muslimah yang sudah maklum akan kotornya politik ini, memerlukan penampilan diri, berdiri dikhalayak ramai, berpidato kepada masyarakat dan tahu pula akan menerajui kaum lelaki.

Dan saya sangat setuju ada parti Islam yang bukan sahaja di negara ini malah diserata dunia yang sangat sensitif dan jika mahu juga melibatkan muslimah, mereka membuat saringan yang sangat ketat. Soal syariat Allah dan akhlak adalah perkara yang mesti diutamakan, bukan mencari alasan akal untuk menghalalkan cara.

Ahli politik muslim MESTI mengajak dirinya kepada akhlak Islam sebelum mengajak orang lain. JIka gagal mempamerkan akhlak atau akhlaknya pula tiada beza, apalagi yang berada dalam satu parti yang bercampur aduk matlamat politik, campur aduk agama, beragam budaya hidup, maka ahli politik separti itu juga tidak melihat kehebatan Islam terutamanya dalam siasah

Usah melatah dengan kenyataan ini,sila duduk sebentar dan muhasabah diri. Adakah keberadaan pada posisi sekarang dan sudah begitu yakin mendapat reda Allah atau reda manusia?. Saya yakin pelbagai alasan sudah disenaraikan bagi menjelaskan pendirian oleh mereka yang sudah terlibat tetapi berfikirlah sejenak dan rasional dalam tindakan.

Antara alasan yang diberi, kerana berkemampuan untuk bergaul dan duduk semeja dengan bangsa bukan Melayu dan agama lain demi maslahat kemanusiaan dan keadilan!! Tetapi bila sudah berkumpul maka dimana akhlak Islam yang ingin ditonjolkan? Pergaulan, gaya pakaian dan gaya percakapan pun juga sudah bercampur aduk . Jika ahli politik lelaki juga sukar menjadi peribadi muslim,apalagi muslimah! Peribadi muslim bukan hanya pada pakaian sahaja!!

Saya pernah diberitahu oleh seorang teman yang sangat meminati politik yang pernah berjumpa dengan daut yang telibat dengan politik di salah sebuah negara timur tengah dimana ahli politik ini tidak pernah lekang dari membaca AlQur’an ketika waktu lapangnya dan kata-katanya ada roh walaupun dia seorang jurutera.

Inilah sebenar kunci jiwa yang kuat dan bersih untuk berdepan dengan dunia politik jahiliyah yang kotor ini. Jika pengisian roh masih longgar dan tidak berkualiti, elok tinggalkan dunia kotor ini sebelum kita menjadi semakin kotor. Dan kita sangat bimbang, juga kotor disisi Allah SWT. Anda yang ada teman-teman yang berkecimpung dalam politik ini lebih memahami tulisan ini.

ulasan Perkara keempat dan lima

Pendakwah yang cenderung kepada politik, kerap berkata fajaman Islam mereka lebih syumul dan berada dibarisan hadapan menentang jahiliyah dan kekufuran. Memang benar, siasah adalah keutamaan dalam Islam malah sistem khalifah itu sendiri adalah siasah. Selain faktor tempat, suasana dan kesesuaian masa, faktor kekuatan peribadi individu dan kemantapan parti adalah faktor utama. Penyokong tidak akan mantap jika sekadar menghadiri rapat umum atau membincangkan isu negara dan semasa semata-mata. Berdakwah dengan wadah politik, maka asas dakwah pada setiap penyokong iaitu taarif, takwin dan tanfiz mesti berjalan, jika tidak jadilah politik yang berteraskan bangsa dan nasionalis. Adakah ini ada pada parti yang pelbagai anutan agamanya? Selama mana para duat yang cenderung berpolitik ini mahu menumpang kekuatan orang lain yang berbeza segalanya!! Diatas kertas nampak cantik perancangannya, tetapi lihatlah pada amal sebenarnya.

Politiknya rancak bila ada isu besar dan bila hampir pilihan raya. Memang benar, politik jahiliyah ini pelik, melucukan, malah banyak ’badut-badut’ dipentas politik ini . Kita tumpang gembira, ada parti politik didunia ini yang ada sistem usrah untuk ahli-ahlinya.