Pages

Monday, November 29, 2010

Mahukan Hasil Segera, Bertahun Dan Yang Berzaman?

1. Ada perkara yang perlu segera dibuat untuk dapat hasil yang segera, walaupun belum tentu keberhasilannya. Namun tabiat usaha itu memerlukan kesabaran kerana hasil yang biasanya lambat.


2. Jika mahu hasil yang segera ( beberapa hari) tanamlah kacang hijau, maka segera tumbuh pokok togeh, jika mahu hasil berbulan tanamlah sayur, jika tanam pokok buah-buahan-hasilnya bertahun, tanam pokok kayu jati -hasilnya puluhan tahun. Manakala ada pokok yang apabila hasil diambil dan pokoknya dicantas,ia akan tumbuh semula, ini seperti pokok pisang dan tebu.


3. Bergantung pada matlamat, target pencapaian, kemudian disusuli oleh usaha. Berbanding dengan pokok tadi, untuk menghasilkan seseorang manusia, ambillah sifat yang ada pada pokok-pokok yang bertahun-tahun untuk mendapatkan hasilnya serta sifat yang ada pada pokok pisang atau tebu.


4. Bukan sahaja bertahun-tahun untuk mendapatkan natijah membentuk seorang manusia, tetapi natijahnya berzaman dan bergenerasi jika ilmu, iman dan akhlak yang ditanam. Manusia yang soleh akan melahirkan generasinya yang soleh, sepertimana sifat pokok pisang dan tebu tadi yang silih berganti.


5. Pengalaman saya menanam lebih dari seribu pokok pisang dan beberapa rumpun pokok tebu, selepas 4-5 kali hasil diambil, kualiti buah akan mula berkuranga. Tetapi apabila dipindahkan anak pokok pisang/tebu tadi, maka kembali semula kepada kualiti asal. Seperti manusia juga yang berbeza suasana, persekitaran dan cabaran hidup dari satu generasi kegenerasi yang lain. Maka kaedah penyelesaian masalah juga berbeza-beza dan perlu kepada LONJAKAN baru.