Pages

Friday, August 28, 2009

Ekploitasi Ramadhan Dan Hari Raya ???

Haramkan Iklan Yang Peralat Ramadan-Hari Raya


SM Mohamed Idris Jul 31, 08 9:46pm

( Artikel yang mendesak pihak Kerajaan segera melakukan sesuatu. Sila baca dan menilai. Cuma dari carian saya dalam internet dan akhbar yang di keluarkan oleh pihak yang lebih layak sebagai pendesak iaitu parti pembangkang, belum ditemui desakan yang kuat dan konsistent akan isu kronik ini. Apakah orang politik kurang minat dengan isu sebegini? Atau perjungan memartabatkan Islam semakin longgar dengan proses pengdemokrasian versi liberal Islam di kalangan PR? Atau isu rasuah, ISA atau PPSMI yang kerap mereka war-warkan itu lebih utama dari gejala budaya songsang dan kemaksiatan tegar? -sebagai contoh- apabila kerajaan menarik balik isu penapisan internet, pihak PR seolah-olah berasa lega apabila masih bebas bersuara di internet, tetapi apabila bahan lucah juga tidak ada usaha untuk ditapis, PR kelihatan kurang membantah!!- Dr YusofAbas)


Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berasa kesal dengan keghairahan pihak-pihak tertentu di negara ini yang mula mengkomersialkan sambutan Aidil Fitri serta mempromosikan tabiat berbelanja secara membazir dalam kalangan masyarakat kita hari ini. Hal ini bukan sahaja berlawanan dengan ajaran Islam, malah menjejaskan iman seseorang Muslim. Pusat-pusat membeli-belah dan syarikat-syarikat korporat kini mula menggunakan sambutan Aidil Fitri untuk mengiklankan produk dan khidmat mereka.




Terbaru, di akhbar tempatan terdapat syarikat yang menjual perabot dan barangan elektrik mula mengiklankan produk mereka dengan kata-kata "Syawal Mega Sale!" dan "Jualan Syawal Mega!", sedangkan kita masih berada di bulan Rejab dan dua bulan lagi iaitu Syaaban dan Ramadhan untuk dilalui sebelum menyambut Aidil Fitri.Kami yakin apabila tiba pula Ramadhan nanti, akan bertambahlah lagi pusat-pusat membeli-belah yang akan mempromosikan jualan dengan pelbagai slogan untuk menarik umat Islam dan pengguna membeli- belah seperti yang berlaku pada 2005 apabila terdapat iklan "Buka Puasa Contest".




Seperti tahun-tahun lepas, kami mendapati pusat-pusat beli-belah sering dipenuhi dengan pembeli-pembeli pada setiap malam, sedangkan mereka sepatutnya memenuhi masjid dan surau untuk menunaikan solat tarawih.Mereka yang berpendapatan rendah sering turut terpengaruh oleh iklan-iklan agresif sehingga memerangkap mereka untuk membeli barangan mahal yang sebenarnya tidak perlu dan membazir yang akhirnya terheret dalam hutang yang membebankan.Akibatnya, sumber dan pendapatan mereka yang sangat terbatas - lebih-lebih lagi dalam keadaan harga minyak yang mahal serta harga barangan yang semakin meningkat ini - menyebakan ia disalurkan dan terhakis kepada penggunaan yang membazir dan tidak berguna.




Media cetak dan elektronik nampaknya turut menyumbang kepada berkembangnya dalam kalangan masyarakat budaya hedonisme dan materialisme di dalam bulan suci Ramadhan dan Syawal melalui iklan agresif yang licik untuk mempengaruhi minda, selera dan nafsu pelanggan termasuk acara hiburan yang melanggar syarak. Ramadhan dan Aidil Fitri menjadi kesempatan untuk merangsang pengguna kepada tabiat penggunaan yang berlebihan. Filem, drama, dan program sukan di TV disiarkan pada setiap malam melekakan masyarakat daripada pergi ke masjid dan surau.




Golongan lelaki, wanita, belia dan kanak-kanak turut didedahkan kepada keganasan, jenayah, dan tingkah laku tidak berakhlak melalui pelbagai siaran di saluran TV pada waktu maghrib, isyak dan seluruh malam sedangkan mereka sepatutnya menggunakan waktu itu untuk memperbanyakkan solat dan membaca al-Quran.Namun, sebaliknya umat Islam kini didorong untuk berbelanja dan menggunakan secara berlebihan dan membazir sedangkan sumber ekonomi masyarakat Islam amat terbatas.




Hal ini berleluasa setiap kali tiba bulan Ramadhan dan sambutan Aidil Fitri.Sehubungan itu, CAP menggesa langkah segera diambil untuk menyekat kecenderungan yang tidak sihat dan bercanggah dengan nilai-nilai Islam dan kami mencadangkan langkah-langkah berikut diambil:




1. Mengharamkan dengan segera sebarang iklan yang menggunakan Ramadhan dan Aidil Fitri untuk mempromosi produk atau perkhidmatan.




2. Menggesa pihak media elektronik tidak menyiarkan sebarang program yang bercanggah dengan ruh Ramadhan, sebaliknya menyiarkan program-program yang meningkatkan pembinaan kerohanian masyarakat.




3. Suatu usaha yang bersungguh-sungguh perlu dilancarkan oleh pihak kerajaan bersama dengan badan-badan Islam untuk menanamkan nilai-nilai Islam dalam kalangan masyarakat.



SM Mohamed Idris adalah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)-sumber Malaysiakini.