Pages

Sunday, February 21, 2010

Betul ! Pertanian adalah perniagaan

Pernahkan anda tahu bahawa, Hassan AlBanna mempunyai data yang lengkap akan keluasan tanah-tanah terbiar di bumi Mesir! Begitulah syumulnya fikrah beliau.


Sebut sahaja pertanian, dalam kontek dakwah ianya bukan sahaja asing kepada pendakwah di Malaysia ini, kerana ianya kerjaya yang tidak glamor dan agaknya berapa kerat sahaja para petani di Malaysia yang memiliki fikrah Islami. Dan golongan petani ini bukanlah golongan sasaran mad'u oleh duat di Malaysia ini. Dan tidak ramai usahawan tani Melayu yang benar-benar berjaya.


Saya agak bertuah kerana boleh bercakap tentang pertanian dan ternakan ikan, kerana di anugerah minat dengan tanah dan sedang 'sibuk' bertani. Dulunya sekadar beriadhah di kebun, kini memikirkan pula untuk menjana wang dari pertanian ini. Saya kagum dengan dua orang doktor lain yang sudah berjaya dalam ladang pisang montelnya ( masih seorang doktor pakar saraf),dan seorang lagi terus berhenti menjadi doktor untuk menjadi penternak jaya ( kambing )sepenuh masa di Terengganu. Holistik dalam fikrah dan dalam berpengalaman banyak bidang.


Bersama jiran yang juga mempunyai minat yang sama, dan setelah berjaya menanam kira-kira 100 pokok-pokok buahan, kini saya sedang mengusahakan tanama pisang- ie hampir 1,500 pokok pisang (pisang berangan dan nipah). Sebelum ini nama-nama pisang pun saya keliru!


Rupanya baru saya tahu teknologi canggih terkini yang menggunakan benih pisang tisu kultur. Cuma yang membuat saya tertanya-tanya apabila pihak MARDI menjual sehingga RM 2 untuk sebatang pokok, sedangkan pihak swasta menjualnya sekitar RM 1.60. Sepatutnya badan Kerajaan tidak mengambil keuntungan sedemikian rupa.


Dan baru saya tahu bahawa, petani kaum Cina sudah lama mengusahakan pisang tisu kultur ini. Ya, mereka sudah lama maju dalam perniagaan dan pendidikan serta dalam pertanian ini mereka juga jauh maju kehadapan.


Juga saya baru tahu, dalam jangka setahun setengah, pokok pisang ini akan membiak secara produktif sehingga 3 batang dan menghasilkan 3 tandan pisang yang memberi pendapatan kira-kira RM 60. Maka jika seribu pokok, pendapatan kasarnya ialah kira-kira RM 60 ribu ( 18 bulan). Apa yang saya dapat tahu, petani Cina ini biasanya menanam di tanah pajak kira-kira 2-5 ribu pokok. Malah untuk mendapatkan benih tisu kultur ini kena tempah 2-3 bln lebih awal.


Sebelum ini saya pernah 'main-main' menanam pokok cili dan mengakui pokok cili ini perlu penjagaan rapi, tidak seperti pokok pisang pada 2 bln pertama sahaja perlukan penjagaan rapi.


Bertani itu beridhah dan yakinlah dengan maksud sabda Nabi SAW iaitu di kira pahala sedekah sekiranya ulat-ulat @ binatang memakan tanaman- begitulah rahmat Allah dan mudahnya mencari pahala! Cuma di musim panas ini, lebih mencabar untuk menjaga tanaman serta wajah semakin gelap dan sedang merancang untuk suka-suka menternak ayam kampung dan kambing pula. Juga sesekali seronok juga bertukar angin menulis di dalam kebun. Dan yakinlah bertani itu boleh menjana wang.